KOTA KINABALU: Parti United Sabah National Organisation (USNO) mengumumkan keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas Presidennya, Pandikar Amin Mulia meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi gabungan itu serta semua jawatan berkaitan kerajaan.
Memetik laporan SG Media, peletakan jawatan tersebut dimaklumkan secara rasmi dalam pertemuan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang juga Pengerusi GRS, pada Selasa.
Menurut sumber, keputusan itu turut dipersetujui sebulat suara dalam Mesyuarat Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi (AMET) USNO, sekali gus mengesahkan pendirian parti untuk meninggalkan GRS berkuat kuasa serta-merta.
Antara faktor utama keputusan tersebut adalah ketiadaan keserasian dalam aspek pentadbiran dan dasar kerajaan, khususnya selepas Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17.
Sumber sama memaklumkan, USNO akan kekal sebagai parti politik yang berteraskan perjuangan pribumi tempatan Sabah serta komited memainkan peranan semak dan imbang dalam landskap politik negeri.
Dalam masa sama, parti itu merakamkan penghargaan kepada pimpinan GRS dan semua rakan komponen atas kerjasama sebelum ini, sambil menegaskan komitmen berterusan untuk memperjuangkan aspirasi rakyat yang disifatkan sebagai terpinggir.







