KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang didakwa merogol anak saudaranya akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen pada 13 hingga 15 Julai ini.
Hakim Amir Shah Amir Hassan menetapkan tarikh tersebut terhadap lelaki berusia 37 tahun yang didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Tertuduh didakwa merogol anak saudaranya yang ketika itu berusia 13 tahun sekitar Januari 2024, kira-kira jam 11.30 malam di sebuah rumah di Tuaran.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.
Dalam kes berasingan di mahkamah yang sama, seorang buruh yang berdepan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya akan dibicarakan pada 2 hingga 4 September depan.
Lelaki berusia 47 tahun itu didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap remaja perempuan berusia 13 tahun pada 6 Mac 2025, kira-kira jam 12 tengah malam di bilik tidur sebuah rumah di Papar.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.





