KOTA KINABALU: Seorang polis koperal dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini daripada pertuduhan memiliki 0.24 gram syabu.
Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali melepas dan membebaskan Sazaly Sahaji, 45, tanpa dipanggil membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Sazaly.
Sazaly didakwa memiliki dadah berbahaya iaitu Methamphetamine pada 29 Julai 2024 di tempat letak kenderaan perumahan Balai Polis Inanam.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Arfa Anchal Khan memanggil enam saksi untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Sazaly diwakili peguam Mohamad Syazwan Shah, Nigel Neong Kaning dan Hannan Razaini.





