Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Pulau Sebatik masih ‘Grey Area’, Indonesia sifatkan laporan Republik itu tidak benar


Read Time:1 Minute, 12 Second

KUALA LUMPUR: Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Raden Mohammad Iman Hascarya Kusumo menegaskan laporan media dari negara itu yang mendakwa sebahagian kawasan Pulau Sebatik kini menjadi wilayah Indonesia adalah tidak benar.

Beliau menjelaskan bahawa kawasan seluas 127.3 hektar di pulau berkenaan masih berstatus “grey area” dan perbincangan antara kedua-dua negara berhubung penetapan sempadan masih belum dimuktamadkan.

“Saya mahu menegaskan (Pulau Sebatik) bukan di bawah kuasa Indonesia, ia masih ‘grey area’. Perbincangan mengenai statusnya masih berjalan di peringkat tinggi.

“Berita dari Indonesia tidak betul. Tolong jelaskan berita itu tidak betul,” katanya memetik laporan Berita Harian di sini pada Jumaat.

Menurutnya lagi, pihaknya perlu mendapatkan pengesahan lanjut sama ada laporan berkenaan berpunca daripada maklumat tidak tepat atau kesilapan individu yang mengeluarkan kenyataan tersebut.

“Saya perlu periksa lagi berhubung sumbernya kerana banyak yang tidak jelas, namun apapun ia tidak benar,” katanya.

Terdahulu, Ketua Staf Presiden Indonesia, M Qodari, dilaporkan mendakwa kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia kini telah menjadi milik Indonesia hasil rundingan penyelesaian sempadan darat antara kedua-dua negara.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan laporan itu sebagai tidak tepat serta tidak mencerminkan hasil sebenar rundingan sempadan Malaysia–Indonesia.

Dalam pada itu, Duta Besar Indonesia itu berkata pihaknya masih menunggu perkembangan lanjut berhubung perkara berkenaan sebelum sebarang pengumuman rasmi dibuat.

“Kita masih menunggu hal itu dan akan memaklumkan mengenai perkara terbabit nanti,” katanya.

LEAVE A RESPONSE