Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sabah perlu lebih banyak doktor, tampung sistem kesihatan – Julita


Read Time:1 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU: Sabah memerlukan kira-kira 9,000 doktor bagi menampung keperluan sistem kesihatan, namun ketika ini hanya 2,884 pegawai perubatan berkhidmat, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keupayaan perkhidmatan kesihatan negeri itu.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, jurang ketara tersebut menuntut tindakan segera daripada kerajaan Persekutuan bagi mengelakkan tekanan berpanjangan terhadap sistem kesihatan.

Beliau berkata, kekurangan itu bukan sahaja berpunca daripada kekangan tenaga kerja, tetapi turut melibatkan isu lebih besar seperti penurunan minat terhadap kerjaya perubatan dan kesukaran mengekalkan doktor di Sabah.

Tambahnya, data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan hanya 10 peratus daripada 5,000 jawatan doktor baharu berjaya diisi pada awal tahun ini, sekali gus memberi gambaran membimbangkan terhadap bekalan doktor pada masa depan.

“Jika keadaan ini berterusan, sistem kesihatan akan berdepan tekanan yang lebih besar, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Hak dan Tanggungjawab Doktor anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.

Julita berkata, kekurangan tenaga kerja menyebabkan doktor sedia ada terpaksa memikul tugas berganda, selain berdepan kekangan kemudahan asas di beberapa lokasi.

Dalam masa sama, beliau mengakui masih terdapat jurang ketara dalam infrastruktur kesihatan, termasuk fasiliti yang memerlukan naik taraf serta akses perkhidmatan yang belum menyeluruh.

Sehubungan itu, Julita berkata, kerajaan negeri telah mengemukakan beberapa tuntutan kepada KKM, termasuk peningkatan peruntukan pembangunan dan penambahbaikan kemudahan kesihatan.

“Isu berkenaan turut dibincangkan di peringkat dasar menerusi platform Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memastikan hak dan keperluan Sabah diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Selain itu, beliau menegaskan kepentingan memperkukuh insentif kepada doktor, termasuk menilai semula Bayaran Insentif Wilayah (BIW) serta meningkatkan elaun kos sara hidup, khususnya bagi mereka yang berkhidmat di kawasan pedalaman.

“Insentif yang lebih baik amat penting untuk menarik dan mengekalkan tenaga perubatan di Sabah,” katanya.

LEAVE A RESPONSE