KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Sabah (YKS), menghadiri Majlis Kesyukuran dan Silaturahim bersama YKS serta Badan Amal dan Kebajikan Islam Jabatan Ketua Menteri (BALKIS-JKM) di Menara Kinabalu, di sini pada Jumaat.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh muhibah itu diserikan dengan jamuan makan, sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen dan dedikasi warga kerja YKS serta BALKIS-JKM dalam melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan.
Turut hadir, Pengarah YKS merangkap Pengerusi BALKIS-JKM, Datuk Diyanah Abdullah, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YKS, ketua-ketua jabatan di bawah Jabatan Ketua Menteri serta ahli jawatankuasa BALKIS-JKM.
Majlis berkenaan turut menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim antara agensi serta memperkukuh kerjasama dalam usaha memperkasa agenda kebajikan di negeri ini.






