Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

PRN17 Sabah: Shahelmey pertimbang pertahan kerusi Tanjung Keramat, biar rakyat tentukan

Read Time:1 Minute, 9 Second

Oleh Normimie Diun

PUTATAN: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata beliau sedang mempertimbangkan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN) akan datang.

Beliau yang juga penyandang kerusi DUN Tanjung Keramat itu menegaskan keputusan itu bukan soal cabar-mencabar mana-mana pihak, sebaliknya untuk menyerahkan kembali mandat kepada rakyat bagi memilih pemimpin yang mereka mahu.

“Kita ingin dapatkan mandat daripada rakyat, bukan untuk cabar-mencabar. Jadi kita pulangkan kepada rakyat nanti untuk memilih dan menunaikan hak mereka serta memberi mandat kepada pemimpin yang mereka pilih,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Seminar Lelaki Qawwam Dan Bidadari Syurga & Kursus Perdana Pra Perkahwinan Islam di Dewan Sri Putatan di sini, hari ini.

Shahelmey berkata demikian susulan kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang sebelum ini mencabarnya untuk bertanding tanpa menggunakan tiket BN.

Ditanya mengenai parti mana yang akan ditandinginya kelak, Shahelmey berkata perkara itu masih dalam pertimbangan dan akan diumumkan pada masa yang sesuai.

“Kita masih dalam peringkat perundingan antara parti-parti yang ada sekarang, jadi tidak perlu tergesa-gesa. Yang penting, kita terus buat kerja di lapangan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata keputusannya untuk bertanding semula akan mengambil kira maklum balas penyokong serta pengundi di sekitar Tanjung Keramat.

“Saya sedang mempertimbangkan dengan mengambil kira pandangan dan sokongan daripada pengundi di kawasan ini,” tambahnya.

LEAVE A RESPONSE