Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

UMS anjur wacana hubungan antarabangsa bersama duta Romania

Read Time:1 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) menganjurkan program The International Relations Ambassador Talk bersama Duta Besar Romania ke Malaysia, Nineta Bărbulescu, bagi memperkukuh kefahaman diplomasi antarabangsa dalam kalangan warga akademik dan mahasiswa.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, penganjuran siri syarahan itu merupakan inisiatif bernilai dalam memberi peluang kepada komuniti akademik berinteraksi secara langsung dengan pengamal bidang hubungan antarabangsa.

“Sesi ini amat signifikan dengan kehadiran Nineta Bărbulescu yang memiliki pengalaman luas, sekali gus memperkaya pemahaman mengenai diplomasi global.

“Program Hubungan Antarabangsa FSSK bersama bidang lain seperti Sejarah, Geografi, Komunikasi, Perhubungan Industri, Sosiologi dan Antropologi akan terus memainkan peranan penting dalam memupuk pemikiran kritis serta kesedaran global dalam kalangan pelajar,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.

Menurut beliau, kepelbagaian budaya masyarakat Sabah turut memperkayakan persekitaran akademik dan membantu mempersiapkan pelajar untuk berinteraksi dalam dunia yang semakin kompleks dan saling berhubung.

Katanya, situasi semasa termasuk perkembangan serta ketegangan melibatkan Iran memberi implikasi luas bukan sahaja di peringkat serantau, malah global, khususnya terhadap aspek ekonomi dan keselamatan.

“Sehubungan itu, kami amat berbesar hati apabila Nineta berkongsi perspektif mengenai dasar luar Romania serta perkembangan antarabangsa dari sudut pandangan Eropah.

“Semoga lawatan ini terus mengukuhkan hubungan persahabatan dan kerjasama pendidikan antara Malaysia dan Romania,” katanya.

Dalam sesi wacana tersebut, Nineta Bărbulescu turut berkongsi pandangan mengenai dasar luar Romania selepas era Revolusi Romania awal 1990-an, selain menekankan kepentingan dialog, persefahaman serta pembentukan pakatan strategik dalam dunia yang semakin saling berkait.

Turut hadir, Dekan FSSK Profesor Dr. Asmady Idris; Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global UMS Profesor Madya Dr. Wardatul Akmam Din; serta Pengarah Pusat Komunikasi Korporat Dr. Rizal Zamani Idris.

LEAVE A RESPONSE