Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Sabah – Kaltara teroka ekonomi karbon, bantu komuniti pesisir

Read Time:1 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU: Kerjasama antara Sabah dan Kalimantan Utara (Kaltara), Indonesia akan memberi tumpuan kepada penerokaan ekonomi karbon sebagai pemangkin pertumbuhan mampan di kawasan sempadan.

Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu, Noorman Effendi, berkata inisiatif itu merangkumi pemuliharaan hutan paya bakau dan pengurusan kawasan tanah gambut yang berpotensi menjana pendapatan melalui perdagangan karbon.

“Lawatan kerja rasmi delegasi kerajaan negeri Sabah ke Kaltara dijadualkan minggu hadapan bagi memperincikan projek strategik yang mampu memberi impak besar kepada ekonomi kedua-dua wilayah.

“Kerjasama ini juga dijangka meningkatkan taraf hidup masyarakat pesisir termasuk petani dan nelayan melalui latihan kemahiran serta penyediaan peluang pekerjaan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Rumah Konsulat Jenderal Indonesia, di sini.

Beliau berkata inisiatif itu turut menyokong agenda antarabangsa seperti Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin serta Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama isteri, Datin Seri Juliah Salag.

Menurut Noorman, kehadiran tokoh-tokoh penting Sabah ke majlis tersebut disifatkan sebagai simbol keakraban hubungan serumpun yang tidak boleh dipisahkan, selain memperkukuh diplomasi budaya antara kedua-dua negara jiran.

Di samping itu, beliau juga menekankan kepentingan warga Indonesia di Sabah memiliki dokumen yang sah. 

“Kami sentiasa menggesa agar mereka datang dengan cara yang betul dan mempunyai dokumen lengkap bagi memudahkan pihak konsulat menyalurkan perlindungan serta bantuan sewajarnya.

“Berdasarkan rekod sehingga kini, dianggarkan kira-kira 170,000 rakyat Indonesia yang berdaftar di Sabah.

Tambah Noorman, tenaga kerja Indonesia kekal signifikan dalam sektor perladangan kelapa sawit di Sabah dan menyumbang kepada aliran kiriman wang ke negara asal.  

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya.

LEAVE A RESPONSE