Read Time:1 Minute, 34 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Pasukan guaman yang mewakili ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir menegaskan bahawa sebarang rumusan awal berhubung keterangan dalam prosiding inkues yang sedang berjalan adalah tidak wajar dan berisiko mengelirukan persepsi awam.
Mereka mengambil maklum mengenai liputan media dan perbincangan di media sosial berhubung keterangan saksi ke-67, Dr. Chua Sze Hung, Pakar Psikiatri Forensik, serta laporan psikiatri autopsi yang dikemukakan dalam prosiding inkues.
Dalam satu kenyataan media hari ini, pasukan guaman menegaskan bahawa Mahkamah Koroner merupakan pihak yang diberi bidang kuasa untuk menilai keseluruhan keterangan dan menentukan dapatan berdasarkan semua bukti yang dikemukakan sepanjang prosiding inkues ini.
“Keterangan mana-mana saksi, termasuk saksi pakar, serta laporan yang dikemukakan, hanyalah sebahagian daripada keseluruhan keterangan yang masih belum selesai dibentangkan dan diuji sepenuhnya di hadapan Mahkamah.
“Sehubungan itu, sebarang rumusan atau kesimpulan awal yang dibuat berdasarkan keterangan setakat ini adalah tidak wajar dan berisiko mengelirukan persepsi awam terhadap prosiding yang sedang berjalan,” kata mereka.
Pasukan guaman turut menyatakan bahawa sebarang dokumen yang dirujuk dalam laporan tersebut, termasuk catatan peribadi seperti diari, bukanlah bukti yang konklusif dan masih tertakluk kepada pengesahan melalui keterangan pakar forensik.
“Kesahihan, pemilikan serta konteks kandungan dokumen tersebut perlu ditentukan melalui proses pembuktian yang ketat di Mahkamah,” kata mereka.
Dalam masa yang sama, masih terdapat saksi-saksi lain, termasuk saksi watak berhubung Zara, yang belum dipanggil untuk memberikan keterangan di hadapan Mahkamah.
“Pasukan kami juga akan memanggil saksi pakar psikiatri bagi membantu Mahkamah menilai isu-isu berkaitan secara lebih menyeluruh dan seimbang berdasarkan keseluruhan bukti yang akan dikemukakan,” menurut kenyataan itu.
Pada Khamis, Dr Chua mendedahkan hasil autopsi psikologi merumuskan cara kematian Zara adalah paling konsisten dengan mengakhiri nyawa sendiri (suicide). – SABAH MEDIA
LINK BERITA TERDAHULU:






