Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

JPG Keningau awasi harga, bekalan dan hak pengguna

Read Time:1 Minute, 13 Second

KENINGAU: Jawatankuasa Gerakan Pengguna (JPG) Daerah Keningau sesi 2026-2028 menetapkan tiga fokus utama iaitu pengawasan harga dan bekalan, peningkatan literasi digital kepenggunaan serta advokasi hak pengguna.

Di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), JPG berperanan sebagai penggerak utama dalam memastikan setiap inisiatif kerajaan sampai kepada golongan sasaran khususnya masyarakat di kawasan pedalaman.

Pengerusinya yang baharu, Peter Jonu Moinjil berkata JPG yang dianggotai wakil jabatan dan agensi kerajaan, aktivis komuniti, ahli akademik serta usahawan muda akan bekerjasama rapat dengan KPDN bagi mempertingkat pemantauan di peringkat tempatan.

“Kami akan mempergiat pemantauan harga barangan keperluan asas untuk memastikan inisiatif seperti ‘Harga Madani’ dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan terutamanya di kawasan luar bandar.

“Selain itu, pendidikan tentang transaksi e-dagang juga akan menjadi keutamaan bertujuan melindungi masyarakat, terutamanya golongan muda daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian,” katanya selepas majlis pelantikan rasmi baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Cawangan KPDN Keningau, Fadzly Daupin berkata penstrukturan semula JPG diyakini dapat meningkatkan keberkesanan tindakan melalui penyaluran maklumat yang lebih pantas dan langkah itu penting dalam mewujudkan persekitaran pasaran yang adil serta telus.

“Kami menggesa pengguna di daerah ini untuk terus menggunakan saluran rasmi untuk melaporkan sebarang salah laku peniaga,” katanya.

Dalam perkembangan sama, JPG Keningau menyasarkan penganjuran Program Jualan Rahmah MADANI dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan agar rakyat terus menikmati manfaat subsidi kerajaan.

Usaha memperkukuh Gerakan Pengguna Zon Keningau turut dipergiat menerusi kempen kesedaran kepenggunaan di daerah Keningau, Tambunan, Tenom dan Nabawan.

LEAVE A RESPONSE