Read Time:1 Minute, 12 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Orang awam diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam memberikan sebarang ulasan berhubung prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir yang masih berjalan di Mahkamah Koroner bagi mengelakkan implikasi undang-undang yang tidak diingini.
Pasukan guaman kepada ibu Zara, Noraidah Lamat, berkata terdapat beberapa kes di mana kenyataan atau komen di ruang awam telah membawa kepada tindakan undang-undang, termasuk siasatan dan pendakwaan.
Justeru, semua pihak perlu menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan serta menjaga sensitiviti keluarga Zara dalam tempoh ini.
“Adalah wajar untuk diingat bahawa ibu kepada Allahyarhamah, Noraidah Lamat, merupakan pihak yang telah mengambil langkah untuk mendapatkan keadilan melalui prosiding inkues ini dan beliau kini mengikuti setiap perkembangan dengan penuh ketabahan demi memastikan kebenaran dapat ditentukan oleh Mahkamah.
“Kami menegaskan bahawa sebarang komen yang bersifat spekulatif, tidak sensitif atau tidak berasas adalah tidak wajar dan boleh menambahkan lagi beban emosi yang sedang ditanggung oleh keluarga Allahyarhamah Zara,” menurut kenyataan pasukan guaman itu.
Kenyataan itu dibuat susulan liputan media dan perbincangan di media sosial berhubung keterangan saksi ke-67, iaitu Dr. Chua Sze Hung, Pakar Psikiatri Forensik, serta laporan psikiatri autopsi yang dikemukakan dalam prosiding inkues.
Pada Khamis, Dr Chua mendedahkan hasil autopsi psikologi merumuskan cara kematian Zara adalah paling konsisten dengan mengakhiri nyawa sendiri (suicide).
Pasukan guaman ibu Zara terdiri daripdaShahlan Jufri Datuk Rizwandean M Borhan Mohd, Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser, dan Elhanan James.
BERITA LANJUT MENYUSUL…





