Read Time:1 Minute, 1 Second
KOTA KINABALU : Hasrat untuk mewujudkan cawangan Institut Jantung Negara (IJN) di Sabah kini semakin menghampiri kenyataan apabila satu langkah penting bakal dimeterai Isnin ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Sabah bersama IJN akan ditandatangani Isnin ini di Kota Kinabalu sebagai langkah awal ke arah merealisasikan projek berimpak tinggi tersebut.
Menurutnya, perkembangan itu adalah susulan perbincangan lanjut yang diadakan antara Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berhubung penyelarasan cadangan penubuhan cawangan IJN di negeri ini.
“Inisiatif ini dijangka memberi manfaat besar kepada rakyat Sabah, khususnya dalam mengurangkan kebergantungan terhadap rawatan di Kuala Lumpur.
“Selama ini, ramai pesakit terpaksa menanggung kos dan kesukaran perjalanan jauh semata-mata untuk mendapatkan rawatan jantung di IJN,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya di sini.
Beliau berkata, dengan kerjasama erat semua pihak, usaha ini diharap dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat negeri ini.
Pada masa sama Armizan turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Sabah yang bukan sahaja telah lama menyumbang dalam bidang pendidikan, malah kini meluaskan peranannya ke sektor kesihatan.
“Langkah ini dilihat sebagai satu kesinambungan amanah dan komitmen dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat Sabah,” katanya.






