Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Catatan diari dedah penderitaan psikologi Zara

Read Time:1 Minute, 45 Second

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner diberitahu bahawa catatan diari mendedahkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir mengalami penderitaan psikologi (psychological pain).

Pakar Psikiatri Forensik, Dr Chua Sze Hung berkata kandungan diari itu mencerminkan kemarahan dan kekecewaan Zara, termasuk penggunaan kata-kata kesat terhadap ibunya.

Menjawab soalan peguam Datuk Ram Singh, saksi ke-67 berkata beberapa catatan diari menunjukkan, atau sekurang-kurangnya menggambarkan, konflik yang dialami mangsa sehingga menyebabkan tekanan psikologi yang signifikan.

Dr Chua memberi keterangan bahawa dalam diari, Zara menyatakan dirinya kurang kekuatan mental serta menjangkakan kematiannya sendiri sekiranya keadaan tidak berubah.

“Dalam satu catatan pada Februari 2025, si mati menyatakan ibunya sering menggunakan kata-kata kesat dan tidak bersetuju dengan apa sahaja yang dilakukannya.

“Dia juga merancang untuk memasuki sekolah berasrama penuh bagi menjauhkan diri daripada ibunya dan mencari ketenangan. Malah, dia menulis bahawa lebih rela dibuli serta barang-barangnya dicuri berbanding terus berada di rumah dan mendengar leteran ibunya.

“Dia menyatakan dirinya berasa keseorangan. Mangsa berharap tinggal di asrama akan memberinya ketenangan, namun perkara sebaliknya berlaku,” kata Dr Chua pada petang Khamis di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Menurut beliau lagi, pada Jun 2025, dalam salah satu catatan diari, Zara mempersoalkan mengapa hidupnya malang serta mendakwa pelajar senior menyimpan dendam terhadapnya.

Dr Chua turut mendapati Zara menulis bahawa ibunya membenci dan menuduhnya secara tidak benar, manakala bapanya pula melayannya dengan buruk.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa diari tersebut menyebut Zara didakwa pernah dipukul pada bahagian kaki kerana menggunakan telefon bimbit selain kerap dimarahi dengan kata-kata negatif.

Bagaimanapun, Dr Chua menjelaskan bahawa kesahihan dakwaan dalam diari itu tidak dapat disahkan, namun catatan berkenaan mencerminkan persepsi Zara terhadap ibunya.

Tambahnya, jonflik ibu bapa hanyalah salah satu daripada faktor risiko. Faktor-faktor ini boleh bergabung sehingga menjadikan seseorang individu berada dalam keadaan lebih rentan.

“Seorang individu yang rentan, ditambah dengan faktor tekanan emosi yang sangat berat… dan pada malam kejadian, tiada mekanisme daya tindak, struktur atau sokongan yang mencukupi.

“Lalu berlakulah insiden malang tersebut.”

Terdahulu dalam kenyataan saksinya, Dr Chua mendedahkan hasil autopsi psikologi merumuskan cara kematian Zara adalah paling konsisten dengan mengakhiri nyawa sendiri (suicide).

Prosiding bersambung April 13.

LEAVE A RESPONSE