Read Time:1 Minute, 27 Second
SEMPORNA : Sebanyak 100 liter minyak petrol berjaya dirampas dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan di daerah ini semalam.
Operasi yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna dengan kerjasama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) itu turut melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan di sekitar daerah Semporna.
KPDN Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi itu dijalankan bermula jam 6 pagi hingga 9 malam melibatkan pemeriksaan di beberapa lokasi strategik termasuk premis hotel, kawasan pembangunan serta kawasan setinggan.
Menurut kenyataan itu lagi, operasi itu bertujuan bagi membanteras aktiviti penyelewengan, penyeludupan serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang yang berkuat kuasa.

“Hasil daripada operasi yang dijalankan oleh pihak KPDN bersama agensi terlibat, KPDN telah menghasilkan sebanyak lima kes Kompaun On The Spot (KOTS) dan satu kes biasa.
” Daripada jumlah tersebut, tiga kes melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, manakala dua kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.
“Selain itu, satu kes telah diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 melibatkan rampasan minyak petrol sebanyak 100 liter yang disimpan dalam enam jeriken,” menurut kenyataan itu di sini pada Rabu.
Tambah KPDN, Anggaran nilai rampasan bagi kes tersebut adalah sebanyak RM387.00, manakala jumlah keseluruhan kompaun yang dikenakan adalah sebanyak RM1,300.
Dalam masa yang sama, sebanyak 17 kenyataan pemeriksaan turut dikeluarkan sepanjang operasi ini dijalankan.
Pihak KPDN menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan kestabilan bekalan, melindungi kepentingan pengguna serta membanteras sebarang bentuk penyelewengan barang kawalan.
KPDN turut merakamkan penghargaan kepada ESSCOM serta semua agensi penguatkuasaan yang terlibat atas kerjasama erat dan komitmen tinggi dalam menjayakan operasi ini.
“Orang awam digalakkan untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan atau penyelewengan melalui saluran rasmi KPDN bagi tindakan lanjut,” tambah KPDN.





