Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Sabah wilayah berdaulat, hentikan provokasi – Anna Bell

Read Time:1 Minute, 45 Second

KOTA KINABALU: Sabah merupakan wilayah berdaulat Malaysia dan sebarang usaha menghidupkan semula tuntutan terhadap negeri itu perlu dihentikan serta-merta kerana bersifat provokatif dan melanggar undang-undang antarabangsa.

Senator Datuk Anna Bell Suzieanah Perian dalam kenyataannya hari ini, menegaskan, kenyataan seorang senator Filipina yang menggesa tuntutan terhadap Sabah dihidupkan semula adalah tidak bertanggungjawab serta boleh menjejaskan hubungan diplomatik serantau.

Menurut beliau, kedudukan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia adalah muktamad dan berlandaskan asas perundangan kukuh melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pembentukan Malaysia bukan sahaja melibatkan persetujuan kerajaan-kerajaan terlibat, malah disahkan melalui proses penentuan kehendak rakyat Sabah sendiri.

“Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962 mendapati majoriti besar rakyat Sabah menyokong penyertaan dalam Malaysia, sekali gus memenuhi prinsip hak menentukan nasib sendiri yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Beliau berkata, dari sudut perundangan antarabangsa, pelbagai prosiding dan keputusan mahkamah turut menunjukkan tuntutan yang dikaitkan dengan Kesultanan Sulu terhadap Sabah tidak mempunyai asas kukuh.

Katanya, tribunal timbang tara dan mahkamah antarabangsa telah menolak legitimasi tuntutan tersebut, termasuk perjanjian lama yang tidak lagi relevan dalam konteks kedaulatan moden.

Anna Bell turut menegaskan bahawa pengiktirafan antarabangsa terhadap Sabah sebagai sebahagian Malaysia tidak boleh dipertikaikan.

“Malaysia telah diterima sebagai negara berdaulat sejak 1963, termasuk keanggotaannya dalam PBB, selain kewujudan pelbagai pejabat konsulat asing dan hubungan perdagangan antarabangsa yang aktif di Sabah,” katanya.

Tambah beliau, sebarang usaha menghidupkan semula tuntutan terhadap Sabah melanggar prinsip utama undang-undang antarabangsa seperti kedaulatan wilayah dan tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara.

“Tindakan sedemikian berpotensi menjejaskan kestabilan serantau serta hubungan dua hala antara negara ASEAN yang sepatutnya berasaskan saling menghormati dan kerjasama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata naratif tuntutan tersebut sering dikaitkan dengan kepentingan ekonomi, khususnya sumber petroleum dan gas di Sabah, namun pendekatan itu disifatkan sebagai dangkal dan tidak bertanggungjawab.

“Sabah bukan medan untuk menyelesaikan kekurangan hasil mana-mana negara asing. Kekayaan hasil bumi Sabah adalah hak rakyat negeri ini dan dilindungi undang-undang Malaysia,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sabah supaya terus bersatu dan mempertahankan kedaulatan negeri.

“Kita tidak boleh berkompromi dalam soal kedaulatan. Sebarang tuntutan terhadap Sabah wajib dikecam dan ditolak sepenuhnya,” katanya.

LEAVE A RESPONSE