Read Time:1 Minute, 30 Second
KOTA KINABALU: Pasukan guaman yang mewakili ibu kepada Zara Qairina Mahathir telah menerima laporan daripada pakar psikiatri Kementerian Kesihatan di Hospital Bukit Padang pada 5 Mac lalu, yang akan digunakan dalam prosiding inkues Zara.
Peguam Shahlan Jufri memaklumkan kepada media dalam sidang akhbar pada Selasa bahawa pakar psikiatri tersebut dijangka memberikan keterangan dalam inkues Zara pada Khamis ini.
“Pakar psikiatri akan memberi keterangan pada Khamis ini, namun pasukan kami akan memohon masa tambahan untuk menyoal balas pakar berkenaan kerana kami perlu meneliti laporan setebal 84 muka surat tersebut.
“Kami juga memerlukan masa yang mencukupi untuk membincangkan laporan itu bersama pakar kami sendiri,” kata Shahlan.
Menurut Shahlan, laporan mengenai keadaan Zara itu disediakan oleh pakar psikiatri selepas sesi temu bual bersama ibu, bapa dan beberapa individu lain.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya bercadang untuk memohon agar beberapa saksi dipanggil dalam inkues, khususnya individu yang disebut oleh saksi kanak-kanak ke-65.
Shahlan berkata senarai saksi yang ingin dipanggil dijangka didedahkan hari ini.
Mengenai saksi kanak-kanak ke-65 itu, Shahlan berkata saksi tersebut telah berkongsi perkara berkenaan dengan ibunya sebelum Ramadan tahun ini.
“Dia memberitahu ibunya, yang kemudian menghubungi seorang guru di sekolah tersebut. Selepas itu, saksi kanak-kanak itu memberikan kenyataan. Menurut keterangannya, tahun ini adalah kali pertama dia memberikan kenyataan kepada pihak polis,” jelas Shahlan.
Menurut Shahlan walaupun saksi kanak-kanak dikatakan sudah selesai memberi keterangan pada tahun lepas, namun susulan perkembangan terbaru saksi baharu ini dipanggil untuk memberi keterangan.
“Saksi kanak-kanak membawa cerita baru… kronologi event yang baru yang agak berbeza. Secara ringkasnya kami belum boleh beritahu secara keseluruhan apa keterangannya sebab belum habis lagi.
“Tapi apa yang kami boleh beritahu saksi ini tidak ada dalam senarai saksi kanak-kanak sebelum ini,” katanya sambil menambah saksi kanak-kanak itu akan menyambung keterangan hari ini disusuli oleh ibunya.






