Read Time:1 Minute, 36 Second
PUTRAJAYA — Sektor pelancongan Malaysia terus menunjukkan daya tahan yang kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah, dengan ketibaan pelancong antarabangsa kekal mencatatkan pertumbuhan positif merentasi pasaran utama.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa bagi tempoh 1 hingga 26 Mac 2026, Malaysia merekodkan sebanyak 2.84 juta ketibaan pelancong antarabangsa, meningkat 2.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. 
Prestasi tersebut disokong oleh pertumbuhan dalam pasaran serantau dan antarabangsa, dengan ASEAN kekal sebagai penyumbang terbesar, diikuti Asia Timur yang mencatatkan peningkatan ketara, termasuk lonjakan ketibaan dari China. 
Selain itu, pasaran Asia Tengah, Oceania dan Eropah turut menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan, sekali gus mengimbangi penurunan ketibaan dari Timur Tengah yang merosot lebih 40 peratus akibat ketegangan geopolitik semasa. 
Sehubungan itu, kerajaan akan memperkukuh strategi pelancongan dengan memberi tumpuan kepada pasaran berprestasi tinggi seperti China, Indonesia, Thailand, Jepun dan Korea Selatan, selain memperluas pasaran jarak jauh termasuk Rusia, Perancis dan Australia.
MOTAC turut menegaskan bahawa pemantauan berasaskan data akan dipertingkat melalui laporan harian oleh Tourism Malaysia bagi memastikan keputusan strategik dibuat secara masa nyata. 
Dalam masa sama, kementerian memberi penekanan kepada pelancongan premium dan mesra Muslim, dengan fokus kepada peningkatan kualiti pengalaman pelancong serta sumbangan ekonomi yang lebih tinggi.
Dari segi ketersambungan udara, tiada pembatalan penerbangan dilaporkan setakat ini, malah beberapa laluan baharu dan tambahan sedang diperkenalkan oleh syarikat penerbangan antarabangsa dan tempatan, mencerminkan keyakinan berterusan terhadap Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan. 
MOTAC juga akan terus bekerjasama rapat dengan pemain industri bagi menangani cabaran semasa termasuk tekanan kos operasi, di samping menggalakkan perkongsian data bagi menyokong penggubalan dasar yang lebih berkesan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing menegaskan bahawa semua pihak perlu memainkan peranan dalam memastikan kestabilan ekonomi negara terus terpelihara dan tidak terjejas oleh spekulasi atau sentimen yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur.
Beliau berkata kerajaan akan terus mengambil langkah proaktif bagi memastikan sektor pelancongan kekal mampan dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran global semasa.






