Read Time:1 Minute, 0 Second
KOTA KINABALU: Polis menerima laporan berhubung kes penipuan membabitkan individu menyamar sebagai anggota polis untuk memohon sumbangan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Kota Kinabalu menerima laporan berhubung satu kes penipuan melibatkan individu yang menyamar sebagai anggota polis bagi memohon sumbangan sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Trafik dan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bagi tahun 2026.
Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Menurut pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman, hasil siasatan awal mendapati suspek menggunakan surat palsu yang memaparkan kepala surat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah bagi tujuan memohon sumbangan daripada orang ramai.
Katanya, modus operandi itu turut melibatkan penggunaan aplikasi WhatsApp bagi menyebarkan permohonan berkenaan.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang permohonan sumbangan yang meragukan, khususnya yang diterima menerusi aplikasi WhatsApp.
“Sebarang permohonan berkaitan aktiviti polis perlu disemak terlebih dahulu dengan pihak berkuasa sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia menyeru orang ramai supaya sentiasa peka terhadap pelbagai taktik terkini jenayah penipuan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.






