Read Time:2 Minute, 14 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak berlaku adil dalam pelaksanaan pemberian subsidi pukal diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah tidak tepat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan tidak pernah menyatakan penyasaran subsidi diesel tidak akan dilaksanakan di ketiga-tiga wilayah berkenaan, sebaliknya ia dirancang secara berperingkat.
Beliau berkata, dasar Kerajaan sejak dari awal adalah melaksanakan reformasi dalam penyaluran subsidi melalui penyasaran subsidi yang akan diteruskan dengan mekanisme pengagihan secara bersasar.
“Mengambil kira dasar ini yang merupakan satu pembaharuan yang besar, maka mekanisme pelaksanaannya bukan hanya perlu dirangka dengan penuh ketelitian, malah harus digerakkan secara berperingkat.
“Atas sebab itu, pada tahun 2024, Kerajaan memulakan dengan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung dan pada tahun lalu, penyasaran subsidi petrol RON95 di seluruh negara. Syukur Alhamdulillah, kedua-dua agenda tersebut telah dapat berjalan dengan lancar dan akan sentiasa diperkemas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.
Armizan berkata, Kerajaan Persekutuan khususnya melalui Kementerian Kewangan pada tahun ini sedang meneliti kerangka cadangan untuk pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Sebaik cadangan mekanisme diperkemas katanya, ia kemudian akan dibawa perbincangan dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak sebelum dilaksanakan.
“Asasnya adalah subsidi diesel akan terus dilaksanakan, namun secara bersasar sekali gus menangani risiko ketirisan meliputi penyelewengan dan penyeludupan.
” Kita telah ada model-model penyaluran subsidi bahan api melalui BUDI95, BUDI MADANI, Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
“Kaedah-kaedah ini akan menjadi panduan untuk memuktamadkan mekanisme terbaik bagi penyasaran subdisi diesel di ketiga-tiga wilayah ini yang pastinya akan ada segmen-segmen yang perlu diambil kira yang unik bagi keadaan di Sabah, Sarawak dan W.P Labuan.
“Sudah pastinya juga pandangan daripada pihak-pihak berkepentingan akan diambil kira,” katanya.
Sementara itu, Armizan berkata, subsidi diesel terus disalurkan secara bersasar melalui SKDS dan BUDI MADANI kepada sektor pengangkitan darat dan barangan serta segmen masyarakat tertentu khususnya di Semenanjung.
Katanya, pelaksanaan penyasaran subsidi diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan hanya dipertimbangkan untuk pelaksanaan pada fasa seterusnya setelah terlaksana fasa 2024 dan 2025 atas beberapa faktor.
“Antaranya kebergantungan tinggi penduduk kepada bahan api diesel, keadaan geografi dan senario jurang harga barangan keperluan asas yang besar di antara ketiga-tiga wilayah ini dengan Semenanjung.
” Kos pengangkutan barang melalui laut dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak adalah lebih tinggi berbanding sebahagian besar kawasan perdagangan utama di negara serantau seperti China dan India.
“Ini menyebabkan jurang harga barangan yang tinggi kerana kos logistik dan kebergantungan kepada import,” katanya. – SABAH MEDIA






