Read Time:1 Minute, 17 Second
KOTA KINABALU: Lebih 1,000 jemaah menghadiri Majlis Tahlil, Doa Selamat dan Solat Hajat sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Masjid Negeri Sabah, di sini pada Jumaat.
Majlis tahunan anjuran Kerajaan Negeri itu diadakan bagi memperkukuhkan silaturahim antara pemimpin dan rakyat selain memohon kesejahteraan negeri serta rakyat Sabah.
Tun Musa yang diiringi isteri, Toh Puan Faridah Tussin tiba sekitar jam 11.17 pagi dan disambut Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor serta Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.

Turut menyambut ketibaan Tun Musa ialah Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Tuan Yang Terutama.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah Yasin dan Tahlil yang dipimpin Imam Besar Masjid Negeri, Ustaz Suhaidi Kuanting sebelum diteruskan dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.
Bungsu turut menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk “Syawal: Bulan Kesyukuran” sebelum para jemaah menunaikan Solat Jumaat dan Solat Sunat Hajat sempena sambutan tersebut yang diimamkan oleh Suhaidi.
Sejurus selesai solat, Tun Musa berkenan memotong pulut kuning dan menyampaikan sumbangan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) kepada beberapa institusi termasuk Masjid Negeri Sabah, Masjid Al-Falah Kepayan, Masjid Sembulan, Masjid Al-Kauthar Tanjung Aru Lama, Rumah Anak Yatim Home Tuaran serta Sekolah Tahfiz Al-Quran Nahdatul Ilmiah Taman Sempelang, Sembulan.
Hadir sama, isteri Ketua Menteri Datin Seri Juliah Salag, jemaah menteri dan ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri.-






