KOTA KINABALU: Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P.172 Kota Kinabalu turun padang ke kawasan Likas susulan beberapa laporan kejadian pecah masuk yang berlaku sejak kebelakangan ini.
Menurut kenyataan hari ini, pusat khidmat berkenaan memaklumkan tindakan itu diambil bagi menilai sendiri situasi keselamatan semasa serta mendapatkan maklumat tepat daripada penduduk terjejas.
Mewakili Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin, pasukan pusat khidmat telah menemui mangsa di Lorong Burung Ruai 2C dan mengesahkan sekurang-kurangnya tiga buah rumah dalam lorong sama menjadi sasaran dalam tempoh yang hampir serentak.
Menurut mangsa, kejadian berlaku secara senyap dan pantas tanpa disedari. Antara kerugian dilaporkan termasuk kenderaan diselongkar serta kehilangan barangan berharga. Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.
Lawatan tersebut membolehkan pihak pusat khidmat mendapatkan gambaran sebenar situasi di lapangan selain memahami kebimbangan penduduk setempat.
Sehubungan itu, menurut kenyataan sama, pihaknya akan memperkukuh kerjasama dengan polis bagi meningkatkan pemantauan serta rondaan keselamatan di kawasan terjejas.
Orang ramai turut diseru supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah keselamatan tambahan, termasuk segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.
Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P.172 Kota Kinabalu menegaskan komitmen untuk terus mendekati rakyat dan memastikan keselamatan komuniti sentiasa terpelihara.






