Read Time:1 Minute, 9 Second
KOTA KINABALU: Dua lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana memindahkan harta curi.
Tertuduh, Abdul Munir dan Mohd Hafieszul, mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan.
Dalam kes melibatkan Abdul, tertuduh mengaku dengan niat curang membantu melupuskan harta curi, iaitu satu unit pengecas laptop dan satu unit tetikus berwarna hitam jenama Logitech, pada 12 Mac, kira-kira jam 4.15 petang, di Kinabalu City Park, Jalan Tugu.
Manakala bagi Mohd, tertuduh telah memindahkan harta curi, iaitu satu unit hydraulic crimping tool, satu unit hydraulic pliers, satu unit hammer drill jenama Soarfly, satu unit heavy duty cable cutter berwarna hijau dan satu unit scaffolding hook safety, pada 4 Mac, kira-kira jam 1.15 pagi, di Kampung Likas, dekat sini.
Kesalahan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki menggunakan pisau pemotong.
Mat Ghani, 45, didakwa melakukan kesalahan itu pada 17 Februari, kira-kira jam 12.30 tengah hari, di Taman Kingfisher, dekat sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 23 April ini untuk sebutan kes pra-perbicaraan.






