Read Time:1 Minute, 29 Second
BEAUFORT : Lebih 20,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan negeri Sabah yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sambutan yang akan berlangsung pada 28 Mac itu dijadual akan bermula seawal jam 10 pagi.
“Justeru kita mempelawa dan menjemput orang ramai hadir memeriahkan sambutan Aidilfitri bermula jam 10 pagi. Selain jamuan makan, pengisian majlis antaranya adalah penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim dan rumah kebajikan serta persembahan daripada artis-artis tempatan Sabah.
“Sambutan ini adalah sebagai platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.
“Oleh itu, kita mengalu-alukan masyarakat tanpa mengira latar belakang agama atau politik untuk bersama-sama hadir memeriahkan majlis ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Kampung Bingkul, di sini pada Isnin.
Arifin berkata, sambutan tersebut juga merupakan manifestasi kesyukuran atas keamanan dan keharmonian negeri Sabah serta permulaan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Majlis berkenaan akan turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor serta pemimpin-pemimpin negeri.
Dalam pada itu, sebanyak 71 vendor dan 15 hotel akan terlibat dalam penyediaan jamuan bagi memastikan kepelbagaian makanan kepada pengunjung.
Menurut Arifin, penyertaan vendor dan pengusaha kecil itu turut membuka peluang ekonomi kepada usahawan tempatan di samping memastikan aspek keselamatan makanan dipatuhi.
Sementara itu, beliau turut menekankan konsep kesederhanaan dalam sambutan Aidilfitri selaras dengan saranan kerajaan Persekutuan agar masyarakat tidak berbelanja secara berlebihan.
“Kita sambut secara sederhana, makan dan minum tetapi jangan berlebihan, sebaliknya kita utamakan kesyukuran dan membantu golongan memerlukan,” katanya.






