SANDAKAN: Seorang wanita berusia 28 tahun dan anak perempuannya berusia tujuh tahun maut dalam satu kemalangan jalan raya di Batu 23, Jalan Labuk, pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa wanita berusia 28 tahun bersama dua ahli keluarganya menaiki motosikal jenis Aveta dari arah pusat bandar menuju ke Beluran.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal dinaiki tiga sekeluarga itu cuba memotong kenderaan lain dengan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung secara berhadapan dengan kereta dari arah bertentangan.
Kanak-kanak berusia tujuh tahun yang merupakan pembonceng disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala wanita berkenaan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent.
“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik hospital berkenaan untuk tujuan bedah siasat,” katanya sambil menambah penunggang motosikal dan pemandu kereta mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di hospital yang sama.
Menurutnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.





