Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Reformasi undang-undang dan institusi antara tawaran manifesto pada PRN – GRS

Read Time:2 Minute, 9 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Reformasi undang-undang dan institusi akan menjadi antara tawaran manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menjelaskan, agenda tersebut telah dirintis sejak tahun 2021 hingga 2025 dan akan diperkukuhkan bermula tahun 2026 sebagaimana komitmen dalam Manifesto GRS.

“Sejak GRS menjadi teras Kerajaan Negeri bermula November 2020 sehingga Oktober 2025, usaha memperkukuh reformasi undang-undang negeri terus diberikan keutamaan.

“Sepanjang tempoh itu, sebanyak 51 enakmen negeri telah digubal atau dipinda, termasuk Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2022, Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023, Enakmen Bekalan Gas 2023 serta Enakmen Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 yang memperkenalkan peruntukan anti lompat parti.

“Turut diluluskan ialah Enakmen Bekalan Elektrik 2024, Enakmen Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024 dan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025 ,” katanya bagi menjawab pertanyaan media mengenai isu meniseto GRS selepas sidang media Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2025 di Sabah International Convention Centre hari ini.

Armizan yang juga mempengerusikan perbincangan manifesto GRS yang akan diketengahkan pada PRN ini, menambah, dalam aspek reformasi institusi, pemerkasaan peranan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah turut dilaksanakan untuk mengendalikan semua kes jenayah di bawah undang-undang negeri.

“Bagi tujuan ini, Peguam Negara selaku Pendakwa Raya di bawah Kanun Tatacara Jenayah telah melantik Peguam Besar Negeri Sabah dan pegawai undang-undangnya sebagai Timbalan Pendakwa Raya (Deputy Public Prosecutor).

“ Kelulusan ini telah diwartakan melalui Warta Kerajaan Persekutuan pada 6 April 2023, yang membawa kepada penubuhan Bahagian Penguatkuasaan dan Pendakwaan di bawah Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah.

“Sejak tarikh kuat kuasa tersebut, mana-mana agensi diwajibkan mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah sebelum memulakan tindakan pendakwaan bagi kesalahan jenayah di bawah undang-undang negeri seperti Ordinan Tanah, Enakmen Perhutanan dan Enakmen Perlindungan Alam,” katanya.

Melalui mandat baharu, GRS akan meneruskan agenda reformasi ini menerusi penubuhan Majlis Penasihat Pembaharuan Undang-Undang Sabah (Sabah Law Reform Advisory Council – SLRAC) pada 31 Julai 2025.

SLRAC merupakan badan penasihat bebas yang akan menjalankan semakan menyeluruh ke atas undang-undang negeri serta mencadangkan pembaharuan bersasar bagi menambah baik kejelasan, keberkesanan, keadilan dan kerelevanan undang-undang.

Bagi tahun 2025/2026, majlis ini dipengerusikan oleh Tan Sri David Wong Dak Wah iaitu mantan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, dan dianggotai oleh pengamal undang-undang berpengalaman seperti Datuk Daniel Tan Jwee Peng, Dr. David Fung Yin Kee, Datuk John Sikayun, Datuk Roger Chin Ken Fong dan Shakinur Ain Karama.

Reformasi undang-undang dan institusi ini membuktikan bahawa GRS bukan sekadar menjanjikan perubahan, tetapi melaksanakannya dengan strategik dan berani.

LEAVE A RESPONSE