Read Time:1 Minute, 44 Second
KOTA KINABALU: Festival Ihya’ Ramadan 2026 (FIR’26) berjaya mencatat sambutan memberangsangkan apabila menarik penyertaan daripada institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara serta penyertaan antarabangsa dari Brunei Darussalam.
Program anjuran Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Fuad (KKTF), Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berlangsung sepanjang bulan Ramadan secara hibrid.
Ianya menggabungkan penglibatan fizikal dan dalam talian bagi memberi ruang kepada mahasiswa untuk terus menghayati pengisian rohani walaupun dalam suasana pembelajaran yang mencabar.
Antara pengisian utama program termasuk Quran Hour 4.0, bacaan Yasin, Talk With Us, agihan air balang dan kurma serta perkongsian ilmu melalui inisiatif Sharing Hadith di media sosial.

Penganjurannya itu turut melibatkan kolaborasi bersama Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PERMAFIS) UMS serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Brunei.
Majlis Perasmian Penutupan FIR’26 disempurnakan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Mansor pada 13 Mac 2026, secara dalam talian melalui platform Zoom.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur atas komitmen tinggi dalam menjayakan program berimpak besar itu.
“Penganjuran ini membuktikan bahawa program anjuran kolej kediaman juga mampu mendapat sambutan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, sekali gus mengangkat martabat institusi.
“Festival Ihya’ Ramadan merupakan program legasi JAKMAS KKTF UMS yang telah dianjurkan selama tiga tahun berturut-turut dan terus menunjukkan peningkatan dari segi penglibatan serta impak kepada mahasiswa.
“Pengisian seperti Quran Hour 4.0 yang melibatkan penyertaan wakil IPT seluruh Malaysia serta universiti luar negara merupakan satu pencapaian membanggakan dan wajar diteruskan pada masa hadapan.
“Program seperti ini bukan sahaja mengimarahkan Ramadan, malah memperkukuhkan amalan kerohanian dan nilai berjariah dalam kalangan mahasiswa,” ujarnya.
Untuk rekod, FIR’26 merupakan penganjuran kali ketiga yang dilaksanakan secara hibrid dan berjaya menarik penyertaan meluas daripada pelbagai IPT dalam dan luar negara, sekali gus mengukuhkan kedudukan UMS sebagai institusi yang aktif dalam pembangunan sahsiah mahasiswa.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS), Prof. Dr. Raman Noordin; Pengetua KKTF, Dr Abdul Khair Beddu Asis; Yang Dipertua JAKMAS KKTF, Velorianlex Juipen serta wakil-wakil daripada MPP UMS, PERMAFIS, dan wakil MPP Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Brunei.





