KOTA KINABALU: Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya Kedutaan China di Malaysia telah mengeluarkan “amaran keras” kepada Kerajaan Sabah berhubung isu bekalan air.
Dalam kenyataan hari ini, Konsulat Jeneral menegaskan bahawa tuduhan tersebut adalah maklumat palsu dan tidak berasas sama sekali.
“Baik Kedutaan China di Malaysia mahupun Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu tidak pernah mengeluarkan sebarang ‘amaran’ atau ‘ancaman’ terhadap Kerajaan Negeri Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), atau mana-mana pihak berkuasa tempatan berkaitan isu bekalan air.
“Kami juga tidak pernah mengeluarkan sebarang ‘nasihat perjalanan’ seperti yang didakwa,” menurut kenyataan itu.
Konsulat Jeneral turut menegaskan komitmen berterusan China untuk memperkukuh semangat persahabatan dan kerjasama saling menguntungkan antara China dan Malaysia, termasuk memperluas kerjasama praktikal antara China dan Sabah dalam bidang pelancongan, perdagangan serta kebudayaan.
“Kami akan terus mempromosikan pertukaran rakyat dengan rakyat serta memperkukuh kerjasama peringkat tempatan antara kedua-dua negara.”
Dalam pada itu, Konsulat Jeneral menggesa media agar melapor berdasarkan fakta yang sahih serta mengelak penyebaran maklumat tidak disahkan yang boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan hubungan persahabatan antara China dan Malaysia.