Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

NGO diseru perhebat CSR bantu golongan memerlukan

Read Time:1 Minute, 24 Second

PUTATAN: Persatuan berdaftar atau badan bukan kerajaan (NGO) digalakkan menjadi nadi penggerak dalam menyokong aspirasi kerajaan negeri bagi memastikan kebajikan rakyat di peringkat akar umbi terus diberi perhatian, khususnya menjelang musim perayaan.

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata penglibatan NGO amat penting dalam membantu membela nasib serta meringankan beban golongan yang memerlukan, terutama di daerah Putatan.

Menurutnya, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh NGO amat digalakkan bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

“Sudah tentu dalam kegembiraan kita menyambut bulan Syawal pada minggu ini, janganlah kita melupakan golongan fakir miskin, asnaf serta mereka yang kurang bernasib baik.

“Walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan dan kebajikan, peranan NGO juga sangat penting dalam melaksanakan program CSR mereka.

“Di Putatan, kami amat menggalakkan mana-mana NGO yang ingin tampil menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) berkata demikian selepas menghadiri program penyerahan bantuan bakul makanan anjuran Persatuan Wanita Perkasa Sabah (PWPS) di Dewan Mini Kampung Muhibbah, di sini, pada Isnin.

Turut hadir Pengerusi PWPS, Salma Said; Pegawai Khas Kanan Parlimen Putatan, Sufian Matin; Pegawai Khas Pentadbiran dan Operasi Parlimen Putatan, Mahadzir Abd Majid; serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat, Latip Jiar.

Dalam majlis itu, Shahelmey turut menyampaikan bakul makanan kepada 34 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf sekitar Putatan.

“Program seperti ini amat signifikan kerana ia merupakan sebahagian daripada inisiatif bantuan yang digerakkan oleh pelbagai pihak termasuk NGO seperti PWPS.

“Kita berharap usaha sebegini dapat diteruskan dari semasa ke semasa, di samping menggalakkan masyarakat mengamalkan budaya membantu mereka yang memerlukan, lebih-lebih lagi dalam bulan yang mulia ini,” katanya.

LEAVE A RESPONSE