Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Sabah cipta sejarah: Projek tenaga angin 100MW di Kudat bakal jadi pertama di Malaysia

Read Time:2 Minute, 2 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Sabah sekali lagi bersedia mengukir nama dalam sejarah tenaga negara apabila Sabah Energy Corporation (SEC) mengumumkan hasrat membangunkan projek tenaga angin berkapasiti 100 megawatt (MW) di Kudat, pencapaian yang bakal meletakkan Sabah sebagai perintis dalam tenaga angin komersial negara.

Ketua Pegawai Eksekutif SEC, Datuk Ir. Ts. Adzmir Abd Rahman, berkata projek bersejarah ini merupakan sebahagian daripada Pelan Pembangunan Strategik syarikat, PETA 2030, yang direka bagi mengangkat Sabah sebagai peneraju dalam peralihan tenaga bersih di Malaysia.

“Jika direalisasikan, projek tenaga angin 100MW di Kudat ini bukan sahaja akan menjadi yang terbesar dan pertama seumpamanya di Malaysia. Ia merupakan bukti nyata komitmen Sabah dalam memimpin agenda tenaga boleh diperbaharui negara,” kata beliau dalam temu bual khas bersama Sabah Media.

Projek ini dijangka dimulakan tahun ini dan apabila beroperasi sepenuhnya, ia akan menyumbang kepada pertambahan kapasiti grid Sabah dengan ketara, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil serta membantu menurunkan kos tenaga jangka panjang di negeri ini.

Selain projek tenaga angin tersebut, SEC turut memperkukuh infrastruktur gas asli sedia ada bagi menyokong sektor industri dan komersial yang terus berkembang pesat.

Kemudahan gas asli yang kini tertumpu di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), Gayang, Kimanis dan Sipitang akan diperluaskan secara sistematik, membolehkan lebih ramai pengguna industri mendapat akses kepada bekalan yang konsisten dan berdaya saing.

Dari segi kewangan, Adzmir menegaskan bahawa SEC komited untuk terus meningkatkan keuntungan syarikat bagi membolehkan pembayaran dividen yang lebih besar kepada Kerajaan Negeri Sabah.

“Kami mahu SEC menjadi jentera pertumbuhan kewangan yang kukuh untuk kerajaan negeri. Dividen yang kami bayar bukan sekaar pulangan wang kepada kerajaan negeri, tetapi turut menjadi nadi kepada agenda pembangunan sosial dan ekonomi rakyat Sabah, termasuk dalam merealisasikan agenda Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0,” ujar beliau.

Adzmir turut menegaskan bahawa Sabah menawarkan peluang pelaburan tenaga yang amat menarik, merangkumi projek hidro, solar dan tenaga angin.

Namun beliau mengingatkan bahawa setiap pelabur yang berminat perlu memiliki kepakaran teknikal yang kukuh serta keupayaan kewangan yang stabil bagi memastikan setiap projek dapat dilaksanakan mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan.

SEC sendiri, katanya, bukan sahaja berperanan sebagai pembekal tenaga, malah turut bertindak sebagai pelabur strategik dalam projek-projek tenaga terpilih di Sabah, mencerminkan kesungguhan syarikat dalam memacu pembangunan mampan negeri.

“Dengan pelan pembangunan tenaga yang komprehensif, kepimpinan yang berwawasan serta sokongan penuh Kerajaan Negeri Sabah, SEC yakin dekad ini akan menjadi titik perubahan yang menentukan dalam perjalanan Sabah menuju masa depan tenaga yang bersih, selamat dan mampan,” tegasnya.

LEAVE A RESPONSE