Read Time:2 Minute, 22 Second
Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menunaikan tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak pernah dipertikai.
Menurut beliau, pendirian itu telah diputuskan di peringkat Jemaah Menteri dan kerajaan kekal berpegang kepada komitmen berkenaan.
“Saya telah berikan ketetapan kerajaan bahawa komitmen kita berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu tidak dipertikai. Soalnya sekarang bukan lagi isu sama ada ia dilaksanakan atau tidak, tetapi bagaimana pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani 2026 bersama Perdana Menteri di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, pada Ahad.
Anwar berkata, kerajaan juga telah memeterai perjanjian pembayaran interim antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah sejak 2022 sebagai langkah sementara sementara kaedah pelaksanaan penuh dimuktamadkan.
Menurutnya, dakwaan kononnya kerajaan mengabaikan hak Sabah di bawah MA63 hanyalah retorik politik yang tidak berasas.
“Untuk menghukum seolah-olah ada kelompok dalam negara ini yang sengaja mengabaikan atau menidakkan MA63 adalah sekadar omongan politik. Komitmen itu jelas dan kita tetap berpegang kepadanya,” katanya.
Pada masa sama, beliau menjelaskan kerajaan turut menyalurkan peruntukan besar kepada Sabah dan Sarawak, termasuk dalam sektor asas seperti bekalan air dan elektrik, selain projek pembangunan yang sedang dilaksanakan.
“Peruntukan yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak sangat besar, malah ada pihak di Semenanjung yang mengkritik keputusan itu. Namun kerajaan tetap membuat keputusan yang tepat berdasarkan keperluan rakyat,” katanya.
Anwar berkata, antara bantuan yang diberikan termasuk subsidi diesel yang diteruskan khusus untuk Sabah dan Sarawak kerana keadaan geografi serta penggunaan bahan api yang lebih tinggi di kedua-dua negeri.
Menurutnya, jumlah subsidi diesel bagi Sabah dan Sarawak pada tahun lalu mencecah RM2 bilion dan dijangka meningkat kepada kira-kira RM4.6 bilion tahun ini berikutan kenaikan harga minyak global.
“Saya bukan mahu mengeluh, tetapi sekadar memberikan fakta supaya perbincangan mengenai isu ini dibuat berdasarkan maklumat yang tepat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan keputusan kerajaan untuk merayu sebahagian keputusan mahkamah bukan bertujuan mempertikaikan hak 40 peratus berkenaan.
Sebaliknya, rayuan itu dibuat bagi memperjelaskan beberapa kenyataan dalam penghakiman yang dilihat menyentuh dan mempertikaikan peranan pemimpin terdahulu di peringkat Persekutuan dan negeri.
Antara pemimpin yang disebut termasuk Perdana Menteri pertama negara, Tunku Abdul Rahman; Perdana Menteri kedua, Abdul Razak Hussein; Yang di-Pertua Negeri Sabah pertama, Tun Mustapha Harun; Ketua Menteri Sabah pertama, Tun Fuad Stephens; bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Salleh; serta bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
“Rayuan itu bukan mengenai tuntutan 40 peratus kerana perkara itu sudah selesai. Kerajaan telah memberi jaminan jelas bahawa kita komited menghormati hak tersebut kepada rakyat Sabah,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan mahu memastikan rekod sejarah dan kedudukan pemimpin terdahulu diperjelaskan secara adil melalui proses mahkamah.
“Sebab itu kita bawa perkara ini ke mahkamah supaya ia diperjelaskan. Ia bukan soal mempertikai hak Sabah, tetapi untuk membetulkan beberapa kenyataan dalam penghakiman,” katanya.






