Read Time:2 Minute, 12 Second
Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 dari 16 hingga 22 Oktober, di samping meneruskan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) sempena sambutan perayaan itu bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, bagi tahun ini, sebanyak sembilan jenis barangan dikawal di bawah skim berkenaan berbanding lapan jenis pada SHMMP Deepavali 2024, dengan penambahan bawang merah kecil India.
“Barangan lain yang terlibat ialah daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, bawang merah kecil India (Ros), bawang merah besar import, kacang dal (Australia), kelapa biji pada peringkat borong serta kelapa parut pada peringkat runcit,” katanya dalam sidang media Perlaksanaan SHMMP Deepavali 2025 di Sabah International Convention Centre hari ini.
Menurut Armizan pelaksanaan SHMMP Deepavali 2025 disesuaikan dengan keadaan semasa bagi mewujudkan situasi menang-menang antara pengguna dan peniaga, memastikan pengguna menikmati harga berpatutan tanpa membebankan peniaga dengan tempoh kawalan yang panjang.
“Penentuan senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan turut mengambil kira faktor permintaan dan penawaran, kos semasa, cuaca serta kadar upah, selain pandangan rakan strategik seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan dan pemain industri. KPDN turut bekerjasama dengan KPKM bagi memastikan bekalan barangan terkawal mencukupi sepanjang skim dilaksanakan.
“SHMMP Deepavali 2025 dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, yang membolehkan penetapan harga dibuat. Harga maksimum bagi peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web KPDN di www.kpdn.gov.my.,” katanya.
Beliau juga menegaskan pegawai penguat kuasa KPDN akan ditempatkan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah sepanjang skim bagi memastikan pematuhan undang-undang.
Kerajaan mengingatkan peniaga supaya menggunakan label merah jambu bagi barangan harga terkawal. Di bawah AKHAP 2011, kesalahan menjual melebihi harga maksimum boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, serta denda sehingga RM500,000 bagi syarikat. Kesalahan gagal meletakkan tanda harga merah jambu boleh didenda sehingga RM10,000 bagi individu dan RM20,000 bagi syarikat.
Selain SHMMP, KPDN turut melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Deepavali dan Program Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert (SIM@PAX).
Terdapat 94 premis bengkel seluruh negara terlibat bagi SIM@PAX bermula 5 hingga 19 Oktober 2025. Orang ramai boleh menyemak takwim PJRM di laman web KPDN, manakala tempahan servis kenderaan SIM@PAX boleh dibuat melalui aplikasi Setel.
KPDN turut meminta kerjasama orang ramai menyalurkan aduan lengkap melalui WhatsApp 019-848 8000, talian 1-800-886-800, e-mel [email protected] atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.