Read Time:1 Minute, 29 Second
KOTA KINABALU: Sebuah syarikat didenda keseluruhan RM25,000 kerana mengambil elektrik melalui pintasan dan memasang pendawaian elektrik di premis tanpa kelulusan Sabah Electricity (SE).
Hakim Mahkamah Sesyen Marlina Ibrahim memerintahkan MBS Tuning Sdn Bhd membayar denda itu selepas pengarah syarikat berkenaan mengaku bersalah bagi pihak syarikat terhadap dua pertuduhan pada Jumaat.
Bagi pertuduhan pertama, syarikat itu didenda RM20,000, dan jika gagal bayar boleh dipenjara 30 hari, kerana telah mengambil elektrik melalui pintasan secara terus yang disambung dari talian bekalan utama tanpa melalui meter milik SE ke dalam permis syarikat yang mengakibatkan kerugian kepada SE.
Kesalahan itu dilakukan pada 9.15 pagi, 12 Mac 2025, di Lorong Minyak, Inanam.
Syarikat itu didakwa mengikut Subseksyen 61(3)(a) Enakmen Bekalan Elektrik 2024, yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 61(3)(ii) enakmen sama, yang memperuntukkan denda antara RM20,000 hingga RM1 juta, atau penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, syarikat itu diperintahkan membayar denda RM5,000, atau penjara 30 hari jika gagal membayar, kerana memasang pendawaian elektrik di dalam premis syarikat tanpa kelulusan bertulis daripada SE selaku pemegang lesen, di tempat dan masa yang sama.
Pertuduhan dibuat mengikut subseksyen 61(8) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 dan boleh dihukum di bawah subseksyen sama.
Seksyen ini memperuntukkan hukuman tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan hukuman, peguam Sherzali Asli yang mewakili syarikat memohon agar mahkamah mengenakan denda yang lebih rendah dengan alasan syarikat itu telah membayar pampasan kepada SE atas kerugian yang dialami.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Andryero Thomas dari Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS) memohon mahkamah mengenakan hukuman yang bersifat pencegahan kerana syarikat tersebut telah melakukan kesalahan serius yang menyebabkan kerugian kepada SE, selain sebagai pengajaran kepada syarikat itu dan bakal pesalah lain.





