Read Time:1 Minute, 4 Second
TAWAU: Atlet Kalabakan, Nur Denisha Shazlia Abdullah berjaya memecahkan rekod kejohanan yang dipegang olehnya pada acara 5000 meter wanita.
Nur Denisha mencatat masa 20 minit 04.43 saat, memperbaharui rekod yang diciptanya pada SAGA 2023 dengan catatan 20 minit 56.71 saat.

Dalam acara tersebut, beliau berjaya menewaskan tujuh peserta lain dalam acara akhir itu, Efyna Ares Lizod dari Pitas meraih pingat perak (20 minit 35.56 saat) manakala, Chelsie Devina Saravanan dari Ranau membawa pulang gangsa.
Beliau berkata kejayaan ini diperoleh dengan melakukan latihan yang berterusan dengan bimbingan jurulatih yang melakukan persiapan yang rapi sebelum temasya bermula.
“Walaupun tidak lepas rekod terbaik saya sebelum ini, tetapi saya bangga kerana berjaya memecahkan rekod sendiri.
“Terima kasih kepada jurulatih saya yang sudah melatih selama beberapa tahun ini, tidak lupa juga kepada ibu bapa kerana memberikan kebenaran untuk mengikut SAGA ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Delegat Teknikal Olahraga, Bonne Rudolf, berkata sebanyak 159 pingat ditawarkan dalam acara olahraga pada temasya SAGA XI tahun ini.
Antara acara olahraga yang bermula hari ini ialah acara lompat jauh, lompat tinggi, lempar cakera, 100 meter lelaki dan perempuan, 400 meter lari berpagar yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini hingga Khamis di Stadium Kompleks Sukan Tawau.