Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Saksi dedah Zara pernah beberapa kali dipanggil senior

Read Time:2 Minute, 39 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang saksi dalam inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir memaklumkan kepada mahkamah bahawa Zara pernah dipanggil oleh pelajar senior beberapa kali sebelum 15 Julai lalu.

Peguam Rizwandean M Borhan, yang mewakili ibu Zara, memaklumkan kepada media bahawa menurut saksi berkenaan, selepas dipanggil oleh senior, Zara dalam keadaan sedih, kecewa dan tertekan.

“Beliau pernah berjumpa Zara sebanyak dua hingga tiga kali di bilik dorm Zara dan meminta maaf kepada Zara bagi pihak senior pelajar Circle 19.

“Saksi ini mengatakan bukan sahaja Zara yang dia jumpa dan meminta maaf bagi pihak senior, malah Saksi juga berbuat sedemikian kepada pelajar junior lain selepas mereka dipanggil oleh kumpulan pelajar senior,” katanya.

Menurut Rizwandean, saksi kanak-kanak ke-11, yang merupakan saksi ke-20 dalam prosiding inkues yang kini memasuki hari ke-21, turut memberi keterangan bahawa beliau biasanya berjumpa Zara selepas Zara dipanggil oleh pelajar Circle 19.

“Saksi berkata beliau minta maaf dengan Zara kerana beliau kasihan melihat keadaan Zara selepas Zara dipanggil oleh pelajar senior kumpulan Circle 19.

“Saksi berkata dia pernah beberapa kali memujuk Zara selepas dipanggil oleh kumpulan pelajar senior kerana saksi ini pernah mengalami dan berada di situasi seperti mana situasi Zara,” katanya.

Rizwandean menambah, saksi turut memberi keterangan bahawa pada malam 15 Julai, sekitar jam 10 hingga 11 malam, saksi mendapat tahu daripada pelajar lain bahawa Zara telah dipanggil oleh beberapa pelajar senior untuk disoal berhubung kehilangan kad bank dan pin bendera milik pelajar lain.

Saksi berkata ramai pelajar asrama tahu dan kecoh mengenai Zara dipanggil kumpulan pelajar senior Circle 19 ke sebuah bilik dorm.

“Saksi berkata dia pergi ke hadapan bilik dorm di mana Zara disoal oleh pelajar senior kerana ingin meminjam kasut. Seingat saksi, masa ketika itu jam 11.00pm ke atas kerana lampu bilik dorm sudah ditutup.

“Semasa melalui koridor di hadapan bilik dorm Zara, saksi melihat seorang pelajar junior yang mengeluarkan kata-kata kesat, ”Itulah mencuri lagi”. Menurut saksi, beliau mendengar kata-kata nada pelajar junior dengan kuat, jelas dan dalam keadaan marah.”

Rizwandean berkata, sekitar jam 3.50am, saksi dikejutkan oleh rakan yang memaklumkan bahawa ada pelajar telah ditemui tidak sedarkan diri dan telah diangkat ke hujung asrama sementara menunggu ambulans sampai. Saksi kemudiannya mengetahui bahawa pelajar yang ditemui dan dipindah tersebut ialah Zara.

Tambahnya, saksi berkata bahawa pada pagi hari 16 Julai, beliau keluar menghadiri aktiviti sekolah dan hanya mengetahui keadaan Zara yang tenat selepas pulang pada waktu petang.

“Saksi menyatakan bahawa beliau tidak menyaksikan sebarang kejadian pukul berlaku terhadap Zara dan hanya mengetahui kejadian malam itu melalui cerita daripada rakan-rakan lain.”

Terdahulu saksi juga ada menyatakan sepanjang beliau mengenali Zara, Zara merupakan seorang pelajar yang baik, periang, ceria dan suka menegur orang contohnya memberi salam kepada pelajar senior dengan berkata ”Assalamualaikum Kak”. Zara juga suka berkongsi makanan.

Menurut Rizwandean, saksi juga berkata dia selalu melihat Zara suka berkawan rapat dengan seorang pelajar senior yang merupakan seorang ahli Badar.

“Menurut pandangan saksi, pelajar senior kawan Zara ini merupakan pelajar yang baik dan berdisiplin. Saksi tahu Zara ini memang berniat mahu menjadi seorang ahli Badar.”

Peguam Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser, dan Elhanan James turut mewakili ibu Zara, Noraidah Lamat.

LEAVE A RESPONSE