Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Akar umbi STAR tolak perpecahan, pilih bersama GRS

Read Time:1 Minute, 15 Second

Oleh Silar Pinikit

KENINGAU : Sokongan terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus diperkukuh apabila jentera akar umbi Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Keningau Station tampil menyatakan komitmen sepenuhnya untuk bersama dalam perjuangan kerajaan negeri yang diterajui oleh Datuk Seri Hajiji Noor.

Langkah ini turut memperlihatkan kesepakatan empat sayap parti di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor yang berikrar untuk menolak politik perpecahan dan memilih jalan perpaduan bersama kepimpinan GRS dan penyandang ADUN Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin.

Mesyuarat khas yang diadakan di Keningau Station baru-baru ini menyaksikan penyertaan penuh kepimpinan PDM dan ahli-ahli parti yang menyatakan sokongan terhadap lima ADUN STAR Sabah yang kekal bersama GRS.

Ketua PDM Keningau Station Yazid Mohd Hasnan Tawik Mansai @ Charles berkata, GRS telah membuktikan kemampuannya meneruskan pembangunan dan menjaga kestabilan politik negeri.

Katanya, STAR Keningau kekal teguh bersama gabungan ini.

Beliau berkata, rakyat semakin menghargai kestabilan yang dibawa kerajaan negeri kini dan percaya kesinambungan kepimpinan GRS adalah penting bagi menjamin masa depan yang lebih baik buat Sabah.

“Kami percaya perpaduan adalah kunci kepada masa depan. Kepimpinan Ketua Menteri telah menunjukkan hala tuju yang jelas dan wajar dipertahankan,” tambahnya lagi.

Pendirian STAR Keningau ini menjadi tanda keutuhan jentera akar umbi dalam menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri akan datang, sekali gus menyatakan kesiapsiagaan mereka untuk mempertahankan DUN Bingkor di bawah panji GRS.

Semangat kesepakatan yang ditonjolkan menunjukkan bahawa STAR Sabah bukan sahaja stabil di peringkat pimpinan tertinggi, malah semakin utuh di peringkat akar umbi. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE