Bekalan Barangan dan Bahan Api Mencukupi, Kerajaan Perkukuh Penguatkuasaan Cegah Penyeludupan — Armizan
Read Time:2 Minute, 12 Second
KUALA LUMPUR,— Kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan barangan pengguna khususnya makanan serta bahan api dalam negara adalah mencukupi walaupun berlaku pelarasan harga petrol dan diesel baru-baru ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata jaminan itu dibuat selepas laporan awal dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri berhubung perkembangan krisis geopolitik melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel yang berpotensi memberi kesan kepada ekonomi global.
Beliau berkata kerajaan juga telah menubuhkan sebuah pasukan petugas khas merentas kementerian yang dipengerusikan Menteri Kewangan II bagi menilai kesan krisis tersebut serta merangka pelan kontingensi jangka pendek, sederhana dan panjang.
“Petang tadi kita telah mengadakan mesyuarat pertama pasukan petugas ini bagi melihat isu-isu jangka pendek yang perlu dilaksanakan segera serta merangka pelan kontingensi sekiranya krisis ini berlarutan.
“Setiap kementerian diminta menyenaraikan langkah-langkah segera berdasarkan bidang tanggungjawab masing-masing untuk dibentangkan dalam mesyuarat khas Jemaah Menteri yang akan diadakan pada Jumaat ini,” katanya ketika ditemui di program ronda ramadan ihsan food bank (i-fb) di Hotel Seri Pacific di sini mala mini.
Mengulas mengenai bekalan barangan menjelang Aidilfitri, Armizan berkata orang ramai tidak perlu panik kerana bekalan makanan dalam negara mencukupi malah terdapat lebihan stok.
Beliau berkata perkara itu juga telah dibentangkan dalam mesyuarat berkaitan kos sara hidup yang dipengerusikan Perdana Menteri sebelum ini.
Dalam pada itu, Armizan turut memberi jaminan bahawa bekalan bahan api di seluruh stesen minyak adalah stabil walaupun berlaku pelarasan harga petrol dan diesel.
Menurutnya, kerajaan masih mengekalkan subsidi bagi memastikan pelarasan harga tersebut tidak memberi kesan besar kepada rakyat.
“Kerajaan mengekalkan harga petrol Budi 95 pada paras RM1.99 seliter, manakala pelarasan harga diesel dibuat secara terkawal dan subsidi masih terus diberikan kerana kita tidak mahu kesannya terlalu besar kepada rakyat,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata kerajaan memberi perhatian serius terhadap risiko penyeludupan bahan api susulan perbezaan harga antara sektor bersubsidi, sektor industri serta jurang harga dengan negara jiran.
Sehubungan itu, kerajaan memutuskan untuk mengaktifkan semula jawatankuasa khas penguatkuasaan yang sebelum ini memberi tumpuan kepada isu penyeludupan dan penyelewengan bahan api di Sabah dan Sarawak.
Jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan dijadualkan mengadakan mesyuarat pada Isnin ini bagi merangka strategi serta pendekatan penguatkuasaan yang lebih bersepadu.
Operasi penguatkuasaan itu akan melibatkan pelbagai agensi termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Armizan berkata langkah tersebut penting bagi memastikan subsidi bahan api yang disediakan kerajaan benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat dan tidak diselewengkan.
Beliau turut menyeru kerjasama masyarakat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk melaporkan sebarang aktiviti penyeludupan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan segera diambil.






