Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Inisiatif Ehsan Food Bank Perluas Kerjasama Industri, NGO Tangani Kos Sara Hidup dan Pembaziran Makanan

Read Time:3 Minute, 4 Second

KUALA LUMPUR, — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluaskan pelaksanaan inisiatif Ehsan Food Bank menerusi pendekatan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memperkukuh usaha menyantuni komuniti serta mengurangkan pembaziran makanan di negara ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata inisiatif berkenaan digerakkan melalui program Incubator Ehsan Food Bank yang membuka ruang kepada institusi industri, hotel, NGO serta pemain runcit untuk bersama-sama menyumbang dalam pengumpulan dan pengagihan makanan kepada kumpulan sasar.

Menurut beliau, antara bentuk kerjasama yang dilaksanakan ialah penyediaan mesin retort oleh KPDN melalui Sekretariat Ehsan Food Bank bagi memproses lebihan makanan yang masih selamat dimakan menjadi makanan siap dimakan (ready-to-eat), sebelum diagihkan kepada komuniti memerlukan.

“Sebagai contoh pada malam ini, rakan strategik kita di Sri Pacific Hotel telah bersetuju menyumbangkan makanan yang diselamatkan untuk diproses menggunakan mesin retort yang disediakan KPDN.

“Melalui proses ini, makanan yang berpotensi menjadi sisa dapat diselamatkan dan diproses menjadi makanan siap dimakan sebelum diedarkan kepada kumpulan sasar,” katanya dalam sidang media sempena program Ehsan Food Bank di sini.

Armizan berkata setakat ini KPDN telah menyalurkan 14 mesin retort bagi projek perintis program tersebut, antaranya di Sri Pacific Hotel, Hotel Le Méridien Putrajaya, Marriott Putrajaya serta Politeknik Sultan Idris Shah di Sabak Bernam.

Beliau berkata kementerian itu juga terbuka kepada mana-mana institusi atau pihak industri yang berminat untuk menyertai program Incubator Ehsan Food Bank bagi memperluaskan impak inisiatif berkenaan.

Menurutnya, program Ehsan Food Bank membawa tiga agenda utama iaitu menyantuni komuniti, menyelamatkan makanan dan memelihara alam sekitar, selain menyumbang kepada aspek keselamatan makanan (food security) negara.

“Ini adalah keindahan inisiatif Food Bank kerana selain membantu golongan memerlukan, ia turut menyokong agenda kelestarian alam sekitar dengan mengurangkan pembaziran makanan,” katanya.

Armizan berkata laporan oleh SWCorp menunjukkan Malaysia menghasilkan kira-kira 17,000 tan metrik sisa makanan setiap hari, dengan sekitar 4,000 tan metrik daripadanya sebenarnya masih boleh diselamatkan.

Beliau berkata jika sisa makanan tersebut berakhir di tapak pelupusan, ia boleh memberi kesan kepada alam sekitar termasuk pelepasan gas metana yang tinggi serta keperluan pembukaan tapak pelupusan baharu.

Sehubungan itu, katanya pendekatan “whole-of-nation approach” diperlukan bagi memastikan usaha penyelamatan makanan dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh melalui kerjasama kerajaan, industri dan NGO.

Menurut beliau, sejak dilaksanakan pada tahun 2020, inisiatif Food Bank di bawah Sekretariat KPDN telah memberi manfaat kepada kira-kira 1.16 juta isi rumah di seluruh negara, tidak termasuk sumbangan yang digerakkan oleh NGO secara berasingan.

“Jumlah sebenar yang menerima manfaat jauh lebih besar kerana banyak NGO yang telah bergerak secara aktif dengan gudang dan rangkaian pengedaran mereka sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata kementerian juga sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi merangka mekanisme pengiktirafan atau insentif kepada pihak industri dan NGO yang terlibat secara aktif dalam inisiatif Food Bank.

Beliau berkata cadangan tersebut masih di peringkat awal perbincangan dan diharapkan dapat dipertimbangkan untuk dilaksanakan, selewat-lewatnya sebagai salah satu inisiatif dalam Belanjawan tahun hadapan.

Menurutnya, pengiktirafan tersebut penting bagi menggalakkan lebih banyak syarikat, peruncit dan organisasi menyertai usaha menyelamatkan makanan serta membantu komuniti memerlukan.

“Makanan yang hampir tarikh luput contohnya masih boleh dimanfaatkan dan diagihkan kepada golongan memerlukan termasuk komuniti di kawasan PPR atau pelajar di institusi pengajian tinggi.

“Melalui gerakan yang lebih tersusun, makanan yang sebelum ini dilupuskan dapat dimanfaatkan oleh masyarakat,” katanya.

Dalam program yang berlangsung malam ini, KPDN bersama rakan strategik termasuk World Trade Centre Kuala Lumpur, QSR Brands dan beberapa NGO turut melaksanakan program Santuni Komuniti dengan mengagihkan makanan kepada anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, IPD Sentul serta golongan gelandangan di sekitar ibu negara.

Armizan berkata program seumpama itu akan terus diperluaskan ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak bagi memperkasakan lagi pelaksanaan Ehsan Food Bank.

LEAVE A RESPONSE