Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Shafie Perlu Bertanggungjawab Atas Isu Air Sabah Dan Kerugian RM315 Juta – NGO G57

Read Time:2 Minute, 46 Second

PUTRAJAYA — Gerakan Rakyat Malaysia (G57) mendesak agar bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal, bertanggungjawab secara moral dan politik atas kerugian sebanyak RM315 juta yang terpaksa ditanggung kerajaan negeri akibat keputusan pentadbirannya menamatkan kontrak enam syarikat konsesi air pada tahun 2018.

Pengerusi G57 Datuk Zulkarnain Mahdar  mendakwa keputusan itu telah mengakibatkan gangguan bekalan air berpanjangan di seluruh Sabah dan memaksa kerajaan negeri di bawah pimpinan sekarang menanggung beban kewangan yang besar.

“Keputusan menamatkan kontrak 58 loji rawatan air di seluruh Sabah dibuat tanpa pelan gantian yang jelas, tanpa kajian impak, dan tanpa mempertimbangkan kesannya terhadap rakyat,” katanya pada sidang media di hadapan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.

Katanya, akibat tindakan itu, kerajaan negeri terpaksa membayar pampasan berjumlah RM315.2 juta kepada enam syarikat berkenaan, jumlah yang disifatkan sebagai “wang rakyat Sabah yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan negeri.”

“RM315 juta ini bukan angka kecil. Wang ini sepatutnya boleh digunakan untuk membina sekolah, membaiki jalan, menyediakan bekalan air bersih, atau membantu lebih 10,000 pelajar Sabah melangsaikan pinjaman PTPTN.

Malah jika diagihkan sama rata, hampir tiga juta rakyat Sabah boleh menerima RM100 setiap seorang,” katanya.

Beliau turut mendakwa bahawa selepas penamatan kontrak itu, kerajaan negeri di bawah Parti Warisan Sabah melantik pula kontraktor baharu yang majoritinya tidak mempunyai pengalaman teknikal, malah dikaitkan dengan kepimpinan parti tersebut.

” Majoriti daripada syarikat baharu ini tidak mempunyai pengalaman teknikal, malah ada yang dikaitkan dengan pimpinan Parti Warisan sendiri. Kalau benarlah dakwaan ini, ini bukan sahaja satu kecuaian tetapi satu pengkhianatan terhadap amanah rakyat Sabah”

“Jika dakwaan ini benar, ia bukan sahaja satu kecuaian tetapi satu pengkhianatan terhadap amanah rakyat,” katanya lagi.

Desak SPRM Buka Siasatan Semula

Pengerusi G57 turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menyerahkan surat rasmi kepada SPRM bagi mendesak agar siasatan dibuka semula terhadap Shafie, termasuk kemungkinan penyelewengan dana yang pernah dikaitkan dengan beliau dan ahli keluarganya sebelum ini.

“Kami percaya SPRM sebagai institusi bebas akan menjalankan siasatan dengan telus dan memastikan tiada siapa terlepas daripada tanggungjawab jika wujud unsur penyelewengan,” katanya.

Beliau menambah bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sivil sekiranya tiada penjelasan memuaskan diterima daripada pihak berkenaan.

Menurutnya, kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor kini terpaksa menanggung kesan kewangan dan logistik akibat keputusan yang dibuat pada tahun 2018 itu.

“Walaupun kerajaan GRSPH bertungkus lumus cuba menyelesaikan masalah ketiadaan air di Sabah dengan mengaktifkan loji air dan pembinaan loji baharu, namun masih banyak kawasan yang terjejas akibat ketiadaan air.

“Masalah air di Sabah yang masih berlarutan hingga kini berpunca daripada keputusan menamatkan enam kontrak konsesi tanpa perancangan rapi. Apabila kontrak baharu dilantik tanpa kepakaran mencukupi, rakyatlah yang akhirnya menanggung akibatnya,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa Shafie perlu tampil dan bertanggungjawab terhadap kerugian serta penderitaan yang dialami rakyat Sabah akibat keputusan tersebut.

“Persoalannya kini, siapa yang akan membayar RM315 juta itu? Rakyat tidak seharusnya menanggung akibat daripada kesilapan pentadbiran lalu,” katanya.

Tambahnya Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, beliau menyeru rakyat Sabah agar menilai semula kepimpinan yang pernah menyebabkan negeri menanggung kerugian besar.

“Kata-kata saya mungkin tegas, tetapi ia demi kebaikan rakyat dan masa depan Sabah. Kita mahu pemimpin yang jujur, berani mengaku silap dan tahu memikul tanggungjawab,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa perjuangan G57 bukan bermotifkan politik, sebaliknya berasaskan tanggungjawab moral untuk menuntut keadilan serta memastikan wang rakyat dikembalikan kepada mereka yang berhak.

LEAVE A RESPONSE