Read Time:1 Minute, 9 Second
TAWAU: Dua syarikat pemborong yang turut membekalkan barang kawalan berjadual di daerah ini berdepan tindakan undang-undang selepas didapati gagal menyelenggara rekod stok semasa pemeriksaan dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau menerusi Ops Pantau Bekalan pada Isnin.
KPDN dalam satu kenyataan memaklumkan, pemeriksaan yang dijalankan oleh pasukan penguat kuasa mendapati pemborong terbabit gagal menyelenggara buku stok pembelian dan penjualan bagi barang kawalan berjadual melibatkan minyak masak dan gas petroleum cecair (LPG).
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati syarikat berkenaan tidak merekodkan butiran transaksi secara lengkap seperti tarikh pembelian dan penjualan, kuantiti, harga serta maklumat pembeli dan pembekal.

“Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, khususnya di bawah Peraturan 13(1).
“KPDN memaklumkan bahawa semua peniaga berlesen yang berurusan dengan barang kawalan diwajibkan menyelenggara buku stok dengan teratur serta mengemas kini rekod dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu di sini.
Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta, dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.
Sehubungan itu, KPDN Tawau menegaskan pihaknya akan terus mempergiat pemantauan serta pemeriksaan bagi memastikan semua peniaga mematuhi peraturan berkaitan barang kawalan.
Menurut kementerian itu, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang yang ditetapkan.






