Read Time:1 Minute, 20 Second
KOTA KINABALU : Kira-kira 100 warga hospital menghadiri Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Ramadan yang dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah (PERKIPS) bersama Unit Hal Ehwal Islam Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Pengerusi PERKIPS, Dr. Syahiskandar Sybil Shah berkata program berteraskan ilmu dan penghayatan agama seperti ini penting dalam membentuk keseimbangan antara tanggungjawab profesional dan pembangunan rohani dalam kalangan kakitangan hospital.
“Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Ramadan ini akan terus dijadikan wadah memperkukuh ukhuwah warga hospital serta memupuk kesedaran rohani melalui penghayatan Al-Quran,”

Beliau berkata demikian pada majlis yang berlangsung di Dewan Sri Kinabalu, HQE di sini baru-baru ini.
Hadir sama Pengarah HQE, Datuk Dr. Abd Kahar Abd Asis
Dr. Syahiskandar berkata, program berbuka puasa secara berjemaah juga memberi ruang kepada warga hospital untuk mengeratkan hubungan silaturahim selain mensyukuri nikmat yang dikurniakan sepanjang Ramadan.
Menurutnya, walaupun majlis dianjurkan secara sederhana, ia tetap meriah dengan semangat kebersamaan apabila sebahagian juadah berbuka dibawa sendiri oleh anggota hospital sebagai tanda kebersamaan dan semangat kerja berpasukan.
Majlis dimulakan dengan upacara khatam Al-Quran melibatkan warga hospital sebelum diteruskan dengan tazkirah khas sempena Ramadan.
Selain itu, program berkenaan turut diisi dengan sesi soal jawab agama yang memberi peluang kepada peserta mendapatkan penjelasan berkaitan amalan serta penghayatan ibadah sepanjang Ramadan.
Acara kemudian diteruskan dengan majlis berbuka puasa secara berjemaah yang menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga hospital, selain memupuk semangat kebersamaan dan kesyukuran.
Program tersebut bukan sahaja memberi ruang kepada kakitangan hospital memperkukuh hubungan sesama mereka, malah turut menjadi wadah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui penghayatan Al-Quran dan pengisian rohani sepanjang Ramadan.






