Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Tiga maahad tahfiz dipilih laksana projek perintis tahfiz pertanian

Read Time:1 Minute, 47 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : Tiga maahad tahfiz di Sabah dipilih sebagai lokasi projek perintis pelaksanaan Modul Tahfiz Pertanian yang menggabungkan pendidikan hafazan Al-Quran dengan kemahiran pertanian.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam berkata, inisiatif itu dilihat selari dengan aspirasi pembangunan negeri di bawah hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, aspirasi pembangunan itu khususnya dalam usaha memperkasa sektor pertanian serta melahirkan generasi muda yang berkemahiran.

Ruslan Muharam

“Kita bersyukur kerana dapat merasmikan model Tahfiz Pertanian yang baru dimulakan ini. Ia selari dengan hala tuju Sabah Maju Jaya yang memberi penekanan kepada pemerkasaan sektor pertanian.

“Pelaksanaan model Tahfiz Pertanian ini akan memberi peluang kepada pelajar tahfiz memanfaatkan tanah yang terdapat di institusi masing-masing untuk aktiviti pertanian secara lebih produktif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Modul Tahfiz Pertanian, Majlis Berbuka Puasa, Diskusi Kitab dan Tahlil Perdana di sini pada Sabtu.

Antara maahad tahfiz terlibat ialah Maahad Tahfiz Datuk Haji Mansoor Sani, Kota Belud; Pondok Darul Iman Binsulok Membakut dan Maahad Tahfiz Redhill Ranau.

Ruslan berkata, meskipun kawasan tanah yang tidak luas di kawasan maahad tahfiz, namun ianya masih berpotensi untuk diusahakan dengan penglibatan para pelajar yang ramai.

Menurutnya, pendekatan tersebut bukan sahaja membolehkan pelajar menguasai hafazan Al-Quran, malah turut melengkapkan mereka dengan kemahiran dalam bidang pertanian.

“Anak-anak ini akan mendapat dua kemahiran iaitu tahfiz Al-Quran dan juga ilmu pertanian. Selain itu, aktiviti pertanian ini juga menjadi riadah kepada mereka bagi mengurangkan tekanan di samping berpotensi menjana pendapatan melalui hasil tanaman.

“Apabila mereka dibimbing dari awal, kita yakin apabila dewasa nanti mereka bukan sahaja menjadi hafiz Al-Quran, tetapi juga mampu menjadi petani yang berjaya kerana sudah mempunyai asas dalam bidang pertanian,” katanya.

Sementara itu, Ruslan berkata, antara tanaman yang diusahakan di tiga maahad tahfiz itu adalah kolam ikan; kebun durian; kebun kelapa; pandan; mangga dan rambutan.

Beliau berkata, secara keseluruhan, projek perintis Modul Tahfiz Pertanian itu melibatkan kawasan seluas kira-kira 14 ekar tanah wakaf.

Menurutnya lagi, pelaksanaan projek tersebut merupakan langkah awal sebelum ia diperluaskan ke lebih banyak institusi tahfiz pada masa hadapan, memandangkan masih banyak tanah wakaf yang belum dimanfaatkan sepenuhnya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE