Read Time:1 Minute, 30 Second
KOTA KINABALU: Program Kasih Ramadan anjuran Persatuan Tindakan Wanita Islam Sabah (Pertiwisa) akan menyantuni 100 ibu tunggal dan asnaf di sekitar ibu negeri.
Pengerusinya, Zaleha Mohd Kassim berkata program berkenaan melibatkan lima penerima dari setiap kampung iaitu Kampung Sembulan, Kampung Likas, Kampung Tanjung Aru serta beberapa kampung di Putatan dan Kinarut.
“Sempena bulan Ramadan, Pertiwisa turut menyalurkan sumbangan tahunan kepada Sekolah Anak-Anak Yatim Tambunan serta sekolah anak-anak mualaf di Sekolah Ugama Tambunan,” katanya.

Beliau berkata dmeikian ketika ditemui pada Majlis Khatam Al-Quran Perdana PERTIWISA, di sini pada Sabtu.
Majlis tahunan yang dihadiri 200 individu itu turut disempurnakan dengan kehadiran isteri kepada Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Faridah Tussin yang juga Penaung Pertiwisa.
Menurut Zaleha, Pertiwisa kini mempunyai 300 ahli dengan lima cawangan aktif di seluruh Sabah iaitu di Sandakan, Tawau, Beaufort, Tuaran dan Kota Belud.
“Sepanjang Ramadan ini juga, setiap cawangan Pertiwisa menganjurkan Program Tadarus Al-Quran yang diadakan di beberapa lokasi termasuk di Masjid Negeri Sabah dan Wisma Wanita.
“Pertiwisa mengalu-alukan lebih ramai wanita Islam menyertai persatuan ini bagi menggiatkan lagi aktiviti keagamaan serta kebajikan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, PERTIWISA menerima sumbangan berjumlah RM30,000 daripada Dr Zailan Ahmad dari Singapura untuk diagihkan kepada lima cawangan Pertiwisa serta sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita Islam di daerah Kinabatangan.
Selain itu, katanya PERTIWISA turut menghargai sumbangan daripada Syarikat Ali yang menyalurkan pakej rempah kari bagi membantu persiapan sambutan Aidilfitri penerima program berkenaan.
“Semua sumbangan berkenaan akan digunakan bagi menjayakan Program Kasih Ramadan termasuk bantuan kewangan dan beras kepada penerima,” katanya.
Turut berlangsung pada majlis itu ialah ceramah agama bertajuk ‘Nuzul Al-Quran Rahmatan Lil Alamin’ yang disampaikan oleh pengasas Zahratul Quran Centre, Normi Mat Yusuf.
Hadir sama, Ibu Konsul Indonesia, Pris Rahayu Norman dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, Haslina Ismail.






