Read Time:1 Minute, 22 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) meneruskan inisiatif membantu komuniti yang memerlukan sokongan menerusi penganjuran ‘Shopping Raya’ di beberapa buah daerah di negeri ini.
Pengerusi PBNS Datuk Dr. Omar Raisul As-Salam Syah Datuk Sulaiman Omar berkata, penganjuran program itu merupakan antara inisiatif bagi membantu penerima manfaat dalam menyediakan keperluan hari raya.
“Alhamdulillah hari ini kita menyantuni seramai kira-kira 26 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bongol dan seorang dari SK Lokos membeli barangan bagi menyambut hari raya khususnya pakaian mereka.

“Selain disini, kita juga turut mengadakan program sama di Pitas dan Keningau dimana menerusi program ini, seramai lebih 100 pelajar khususnya yang memerlukan akan menerima manfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sabah Media pada program itu di sini pada Sabtu.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PBNS Ismail Mohd Adnan.
Program anjuran PBNS itu turut mendapat kerjasama Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Atas dan SK Bongol Tuaran.
Dr Omar berkata, pihaknya berharap agar program seumpama itu akan dapat dilaksanakan secara berterusan pada masa akan datang.
“Kita berharap program ini dapat dilaksanakan secara berterusan dan mudah-mudahan penerima juga akan bertambah setiap tahun.
“Selain program ini, kita akan turut mengadakan Majlis Berbuka Puasa dan juga Tautan Ukhwah Baitulmal. Pada majlis itu nanti kita akan menyampaikan sumbanhan kepada Madrasah-Madrasah Tahfiz, rumah anak yatim dan lain-lain,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pembayar fidyah dan penyumbang Kumpulan Wang Amal Jariah (KWAJ).
” Terima kasih juga kepada pembayar fidyah KWAJ, mudah-mudahan Allah terima semua dan insyaAllah diberkati umat negeri Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA






