Read Time:1 Minute, 45 Second
KOTA MARUDU: Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bandau, Ardino Diris, mengambil langkah berani apabila mengumumkan bahawa beliau bersama lebih separuh Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian akan kekal menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meskipun kepimpinan tertinggi parti itu telah memutuskan keluar daripada gabungan berkenaan.
Ardino berkata keputusan itu bukan sesuatu yang mudah memandangkan beliau telah berjuang bersama Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan selama hampir dua dekad sejak 2006 di peringkat negeri dan Parlimen Kota Marudu.
Beliau berkata, perjuangan menuntut hak-hak Sabah yang dimulakan oleh Dr Jeffrey dan Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee kini menjadi perjuangan bersama semua parti politik tempatan, termasuk badan bukan kerajaan serta individu yang cintakan negeri ini.
“Saya bangga menjadi sebahagian daripada proses perkembangan itu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat AJK Bahagian STAR Bandau di sini, pada Ahad.
Menurut Ardino, beliau serta kepimpinan STAR Bahagian Bandau tetap komited menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang disifatkannya berjaya membawa banyak perubahan positif dan menunaikan sebahagian besar tuntutan hak Sabah dalam kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, GRS bukan sekadar gabungan politik, tetapi aspirasi rakyat Sabah yang mahu melihat parti-parti tempatan bersatu di bawah satu wadah formal untuk mentadbir negeri ini secara seimbang dan stabil.
Antara pimpinan bahagian yang menyatakan pendirian sama ialah Naib Ketua Bahagian, Okiong Gintotok dan Jappri Taising; Setiausaha Bahagian, Helney Johari; Bendahari Bahagian, Jennifer Mampahau; Setiausaha Penganjur, Kahil Masnting; serta Ketua Penerangan, Felix Kain.
Turut bersama ialah AJK Bahagian terdiri daripada Jastin Ingkal, Dul Surugau, Lirus Galanang, Roy Chong, S. Mardi Bakri serta Juruaudit Dalaman, Inglis Bakorta, selain Ketua-Ketua Biro dan 53 daripada 71 Ketua Cawangan STAR Bahagian Bandau yang menzahirkan solidariti terhadap keputusan berkenaan.
Ardino turut menzahirkan penghargaan kepada Dr Jeffrey atas tunjuk ajar dan pengalaman sepanjang perjuangannya dalam STAR.
“Saya menghargai pengalaman pahit manis di dalam STAR dan berterima kasih kepada presiden parti atas peluang serta kepercayaan yang diberikan selama ini,” ujarnya.
Mengulas mengenai statusnya sebagai Timbalan Ketua Penerangan STAR Pusat dan Ketua Bahagian STAR Bandau, Ardino berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan kepimpinan parti.
“Biarlah kepimpinan yang menentukannya mengikut lunas perlembagaan parti,” katanya.