Read Time:1 Minute, 37 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mempergiat pemantauan di semua tapak Bazar Ramadan sekitar bandar raya bagi memastikan lebih 1,000 penjaja yang terlibat mematuhi garis panduan ditetapkan sepanjang bulan Ramadan.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, sebanyak lebih 400 gerai beroperasi tahun ini dengan tiga bazar di bawah seliaan DBKK dan 16 lagi dikendalikan oleh syarikat yang dilantik.

Beliau berkata, pemantauan di bazar Ramadan memberi penekanan terhadap aspek kebersihan dan keselamatan makanan termasuk penggunaan penutup makanan, kebersihan pakaian pengendali, serta kaedah penyediaan dan penyimpanan bahan mentah.
“Selain itu, pemantauan harga turut dilakukan bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan dengan meletakkan harga tidak munasabah. DBKK juga memastikan tiada makanan yang tidak dibenarkan dijual di tapak bazar.

“Dari sudut pengurusan sisa, semua penjaja diwajibkan memasukkan sampah ke dalam beg yang disediakan sebelum dikutip pekerja pembersihan.
“Bagi peniaga yang menjalankan aktiviti ‘live cooking’, minyak masak terpakai perlu disimpan dalam bekas khas dan dibawa pulang, bukan dibuang ke longkang atau kawasan sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Bazar Ramadan Lintasan Deasoka di sini pada Rabu.
Sabin berkata, pengasingan sampah bagi bahan seperti kaca, plastik dan kertas turut digalakkan bagi mengelakkan pencemaran terutama sisa makanan basah yang boleh menyebabkan kebocoran dan mengotorkan kawasan persekitaran.

Dalam pada itu, Sabin berkata, sambutan pengunjung di lokasi bazar tahun ini lebih menggalakkan berbanding tahun lalu, termasuk jika dibandingkan dengan tapak di Padang Merdeka yang sebelum ini menerima rungutan kurang pengunjung.
“Walaupun tiada data rasmi direkodkan setakat ini berhubung jumlah pendapatan penjaja, penganjuran bazar dilihat terus memainkan peranan penting dalam merancakkan ekonomi bandar serta memberi peluang pendapatan kepada peniaga kecil dan sederhana,” katanya. – SABAH MEDIA






