Read Time:2 Minute, 40 Second
KUALA LUMPUR: Senator Datuk Anna Bell Perian menegaskan keperluan pelaksanaan dasar kerajaan yang lebih telus, berakauntabiliti dan benar-benar berimpak kepada rakyat ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung kemajuan negara, reformasi pentadbiran serta pengukuhan integriti tidak boleh sekadar menjadi pernyataan dasar semata-mata.
“Titah Tuanku perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang jelas. Kementerian harus menyatakan garis masa pelaksanaan, perincian peruntukan dan sasaran yang boleh diukur supaya rakyat dapat menilai keberkesanannya,” katanya.
Menurut beliau, rakyat kini semakin kritikal dan menuntut ketelusan dalam setiap dasar yang diumumkan kerajaan.
“Setiap jawapan kementerian di Dewan Negara seharusnya disertakan data yang tepat serta jadual pelaksanaan yang jelas. Ini soal akauntabiliti kepada rakyat,” tegasnya.
Dalam perbahasan itu, Anna Bell turut menyentuh pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya berkaitan semakan semula pemberian khas 40 peratus hasil bersih Sabah seperti diperuntukkan di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Beliau meminta kerajaan menjelaskan status terkini perkara berkenaan serta sama ada satu formula tetap berasaskan hasil sebenar akan ditetapkan bagi memastikan kepastian fiskal kepada Sabah.
“Sabah memerlukan kepastian, bukan rundingan yang berpanjangan tanpa penyelesaian konkrit. Formula yang jelas dan tetap amat penting untuk perancangan pembangunan negeri,” katanya.
Beliau turut membangkitkan keperluan memurnikan tafsiran undang-undang berkaitan hak Sabah terhadap pelantar benua dan sumber petroleum agar selari dengan semangat autonomi negeri seperti dipersetujui ketika pembentukan Malaysia.
Menyentuh isu infrastruktur, Anna Bell menuntut penjelasan terperinci mengenai kemajuan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, khususnya peratusan siap setiap pakej Fasa 1B serta tarikh jangka siap terkini.
“Projek ini bukan sekadar jalan raya. Ia nadi ekonomi dan faktor keselamatan rakyat luar bandar. Kelewatan memberi kesan langsung kepada kos sara hidup dan akses perkhidmatan asas,” ujarnya.
Isu bekalan air dan elektrik yang sering menjejaskan kehidupan rakyat Sabah turut diberi perhatian. Beliau meminta kerajaan memberikan garis masa jelas bagi projek berkaitan termasuk Projek Southern Link serta program penggantian paip usang di Kota Kinabalu dan Tawau.
Dalam aspek pembasmian kemiskinan, Anna Bell membangkitkan keadaan beberapa daerah di Sabah seperti Tongod, Nabawan dan Pitas yang masih berada dalam kategori termiskin di Malaysia.
“Bagaimana peruntukan pembangunan RM6.9 bilion dalam Belanjawan 2026 akan diagihkan secara bersasar? Rakyat di luar bandar mahu melihat perubahan sebenar terhadap pendapatan dan peluang ekonomi mereka,” katanya.
Perbahasan itu turut menyentuh agenda pendigitalan negara termasuk keberkesanan projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) yang bertujuan meningkatkan capaian internet di Sabah dan Sarawak, khususnya di kawasan pedalaman.
Dalam aspek keselamatan, beliau menekankan kepentingan memperkukuh operasi di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) melalui penggunaan teknologi seperti dron jarak jauh dan kecerdasan buatan bagi menangani ancaman jenayah rentas sempadan.
Beliau turut menegaskan keperluan mempercepat pelaksanaan projek tebatan banjir di kawasan yang sering terjejas di Sabah serta memberi perhatian kepada pembangunan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk penyediaan kemudahan kekal bagi pusat latihan seperti GIATMARA yang telah lama beroperasi tetapi masih tidak mempunyai bangunan sendiri.
“Ukuran sebenar kemajuan bukan sekadar angka pertumbuhan ekonomi, tetapi sejauh mana pembangunan itu sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.
Anna Bell menegaskan keadilan wilayah mesti menjadi keutamaan dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) supaya jurang pembangunan antara Sabah dan wilayah lain dapat dirapatkan secara berkesan.






