Read Time:1 Minute, 38 Second
PAITAN : Perkembangan terkini situasi banjir di kawasan Sugut dan Paitan menyaksikan gerak kerja bantuan kini dipusatkan di KDCA Paitan yang dijadikan hab utama pengagihan barangan keperluan kepada mangsa terjejas.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib berkata, Pusat Khidmat ADUN Sugut telah menyelaras pengagihan bantuan makanan serta pakaian terpakai dan pakaian baharu bagi memastikan keperluan asas mangsa terus terjamin.
Menurut beliau, penetapan KDCA Paitan sebagai hab pengagihan membolehkan bantuan disusun secara lebih teratur dan sistematik sebelum disalurkan ke kampung-kampung serta pusat pemindahan sementara (PPS) yang terlibat.
Langkah itu diambil bagi memastikan tiada mangsa tercicir daripada menerima bantuan.
Sejak hari pertama bencana melanda akibat hujan lebat berterusan yang menyebabkan beberapa laluan terputus dan ratusan penduduk dipindahkan, James telah turun padang memimpin sendiri operasi bantuan di kawasan terjejas.
Beliau turut mengadakan koordinasi bersama agensi keselamatan dan penyelamat termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bagi memastikan proses pemindahan dan penyaluran bantuan berjalan lancar.
Dalam usaha memperkukuh penyelarasan operasi, beliau turut mengambil langkah proaktif dengan mengatur penghantaran empat unit peranti Starlink ke kawasan banjir.
Pemasangan peranti tersebut membolehkan sambungan internet sementara diwujudkan bagi melancarkan komunikasi antara pasukan penyelamat, pusat operasi dan PPS, di samping membantu mangsa berhubung dengan keluarga masing-masing.
Beliau turut meninjau sendiri keadaan kampung-kampung terjejas termasuk tahap kerosakan infrastruktur jalan raya serta kemudahan awam.
Perhatian khusus juga diberikan kepada sekolah-sekolah yang terkesan bagi memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan segera selepas banjir surut.
Tegas beliau, kebajikan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, dan seluruh jentera diarahkan terus berada di lapangan untuk memantau perkembangan semasa serta memastikan bantuan sampai kepada semua mangsa tanpa mengira lokasi.
Beliau dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan, pasukan keselamatan, sukarelawan dan masyarakat setempat atas komitmen serta kerjasama padu sepanjang operasi bantuan banjir ini.
Kerjasama erat semua pihak, katanya, menjadi kunci utama dalam memastikan usaha pemindahan, penyelamatan dan pemulihan pasca-banjir dapat dilaksanakan secara berkesan dan tersusun.






