Read Time:1 Minute, 3 Second
KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat menahan sebuah bot kargo yang membawa petrol dan diesel tanpa permit sah di perairan Kuala Kaindangan, Pitas, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Hasbullah Omar berkata, bot kargo berkenaan dikesan bot ronda Maritim Malaysia ketika menjalankan rondaan rutin sebelum pemeriksaan lanjut mendapati ia membawa muatan barang kawalan tanpa dokumen pengesahan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot kargo tersebut membawa petrol dan diesel yang dipercayai barang kawalan tanpa sebarang dokumen atau permit kebenaran daripada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, bot terbabit dikendalikan seorang tekong lelaki warga tempatan berusia 60 tahun bersama seorang kru lelaki berumur 38 tahun. Kedua-duanya gagal mengemukakan dokumen berkaitan pengangkutan barang kawalan ketika diminta pegawai pemeriksa.
Susulan itu, bot kargo bersama muatan ditahan dan diiring ke Jeti Sabah Port Kudat untuk tindakan lanjut.

Kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa kebenaran sah.
Hasbullah berkata pihaknya akan terus mempergiat rondaan dan pemantauan di perairan utara Sabah bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta penyalahgunaan barang kawalan yang boleh menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.







