KOTA KINABALU: Situasi banjir di Sabah dilaporkan semakin buruk apabila jumlah mangsa yang terjejas terus meningkat kepada 5,532 orang setakat jam 8 pagi ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, jumlah itu melibatkan 1,943 keluarga yant terjejas di lima daerah iaitu Beaufort, Tenom, Membakut, Sipitang dan Sook.
Sebanyak 27 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih diaktifkan bagi menempatkan mangsa yang dipindahkan, manakala tiada kematian dilaporkan setakat ini.
Tenom mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 3,149 orang daripada 1,063 keluarga, diikuti Beaufort (1,456 orang, 510 keluarga), Membakut (427 orang, 169 keluarga), Sipitang (421 orang, 176 keluarga) dan Sook (79 orang, 25 keluarga).
Antara PPS yang masih aktif termasuk Pusat Pemindahan Kekal Selagon, Dewan DSP Banir, Dewan Kesenian dan Kebudayaan Bisaya serta beberapa sekolah dan dewan masyarakat di Tenom yang menempatkan ratusan mangsa.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa, terutama di kawasan rendah dan berisiko banjir.






